Anda di sini

JKR Perak buat pemantauan di kawasan ‘hotspot’ kemalangan

Advertisement

IPOH: Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak sentiasa melakukan pemantauan di sekitar kawasan ‘hotspot’ kemalangan termasuk di Jalan Ipoh-Lumut bagi meminimumkan kemalangan di negeri ini.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata beberapa tindakan telah diambil antaranya menambah papan tanda dan lampu amaran, mengecat semula garisan jalan serta membaik pulih jalan raya yang rosak.

Isu keselamatan merupakan keperluan yang perlu diambil kira dan kita juga menggunakan peruntukan peringkat negeri untuk memperbaiki jalan,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Yong Choo Kiong (PKR–Tronoh).

Sebagai contoh, katanya, kerajaan negeri menggunakan peruntukan negeri untuk membaik pulih Jalan Ipoh-Lumut sepanjang 76 kilometer walaupun laluan itu merupakan jalan persekutuan.

Kita memerlukan RM4 juta setahun untuk menyelenggara laluan tersebut kerana kita tidak mendapat peruntukan yang secukupnya untuk menyelenggara jalan persekutuan daripada Kementerian Kerja Raya,” katanya.

Sementara itu, Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata pihaknya dalam perancangan mewujudkan pusat penjualan cenderahati dan produk berasaskan kraf tangan di daerah Kuala Kangsar.

Beliau berkata pihaknya sedar keperluan pusat penjualan berkenaan di daerah itu yang sememangnya terkenal dengan pelbagai produk kraf tangan dan kraf warisan.

Katanya sehingga kini ada 165 usahawan kraf tangan di Kuala Kangsar yang berdaftar dan kebanyakan mereka berada di sekitar Sayong dan Bukit Chandan.

Saya dimaklumkan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar akan membuka semula kawasan Lembah Kuala Kangsar sebagai pusat sehenti untuk penjualan kraf berkonsepkan grand bazar.

Di bandar raya Ipoh pula, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak mempunyai perancangan menempatkan pengusaha kraf di bekas tapak ‘silveritage’ yang dijangka mula beroperasi Jun tahun ini,” katanya menjawab soalan tambahan Maslin Sham Razman (BN-Bukit Chandan). Bernama

Advertisement