Anda di sini

Hadi bentang RUU355 setelah ‘gangguan’ oleh pembangkang

Advertisement

Pindaan dicadangkan untuk tingkat bidang kuasa Mahkamah Syariah

 Abdul Hadi membentangkan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355 di Dewan Rakyat semalam. — Gambar Bernama
RANG UNDANG-UNDANG MAHKAMAH SYARIAH: Abdul Hadi membentangkan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355 di Dewan Rakyat semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akhirnya membentangkan usul Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 2016) atau RUU355 di Dewan Rakyat semalam di sebalik ‘gangguan’ oleh beberapa anggota pembangkang sebelum beliau dapat membuat pembentangannya.

Perbuatan para anggota pembangkang itu yang membangkitkan beberapa perkara dengan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, telah melengahkan masa kira-kira 30 minit sebelum ahli Parlimen Marang itu dapat membentangkan usul berkenaan atas sifat rang undang-undang persendirian.

Pindaan yang dicadangkan itu antara lain adalah bagi meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman penjara maksimum sehingga 30 tahun, hukuman denda maksimum sehingga RM100,000 dan hukuman sebatan rotan 100 kali.

Pada masa ini Mahkamah Syariah hanya diberi kuasa menjatuhkan hukuman penjara maksimum sehingga tiga tahun, denda maksimum sehingga RM5,000 dan enam kali sebatan rotan.

Kerajaan sebelum ini berhasrat mengambil alih pembentangan rang undang-undang itu, namun tidak meneruskan hasrat berkenaan atas faktor semangat permuafakatan Barisan Nasional (BN).

Terdahulu beberapa anggota pembangkang yang bangun mencelah pada awal sesi pembentangan itu termasuklah penasihat DAP Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) yang minta penjelasan speaker dewan kenapa satu usul rang undang-undang persendirian yang dikemukakannya telah ditolak.

Selepas diberi penjelasan oleh Pandikar Amin, Lee Boon Chye (PKR-Gopeng) pula bangun bertanya sama ada aturan mesyuarat hari ini (semalam) sengaja diatur supaya Abdul Hadi dapat membuat pembentangannya.

Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) pula bertanya sama ada peraturan sama bagi melarang perbahasan Dewan Rakyat mengenai isu 1MDB terpakai kepada isu pindaan Akta 355 selepas Pandikar Amin dilaporkan telah menerima Notis Saman Pemula mengenai larangan itu yang dikemukakan oleh Muhammad Tawfik Ismail.

Mengenai perkara itu, Pandikar Amin menegaskan bahawa Parlimen adalah badan agung dalam menggubal undang-undang dan tiada pihak boleh mempertikaikan peranannya itu.

Tugas mahkamah ialah sama ada satu RUU yang diluluskan di Parlimen itu berperlembagaan atau tidak, Parlimen adalah badan agung dalam menggubal undang-undang, anda tidak boleh halangnya,” katanya.

Bangun mencelah mengulas isu sama, Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) berkata penyerahan satu saman pemula kepada defendan atau responden tidak boleh dianggap sebagai satu perintah mahkamah.

Dalam hal ini Tan Sri sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat hanya di peringkat ini menerima satu saman pemula yang belum lagi pun dijawab oleh Tan Sri sendiri,” katanya.

Setelah beberapa gangguan itu, Pandikar Amin kemudiannya mengarahkan Abdul Hadi meneruskan pembentangannya dan menegaskan supaya isu politik tidak dibawa ke dalam Parlimen dan memberi amaran sesiapa yang berdiri akan diarah keluar dewan. — Bernama

Advertisement