Anda di sini

Dua warga asing didakwa miliki dadah

Advertisement

MIRI: Dua lelaki warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam atas tuduhan memiliki dadah berbahaya.

Budding Singkarru (34) dan Yupa Mala (22), kedua-duanya dari Sulawesi Indonesia telah didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan serta dihukum di bawah seksyen 12 (3) ABD 1952.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh bukan sebagai seorang yang diberi kuasa di bawah ADB 1952, telah dituduh memiliki 18 keratan straw mengandungi bahan dipercayai dadah berbahaya seberat 0.248 gram (berat kasar).

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama pada jam 10.50 pagi, 30 Mac lalu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Muhibbah, Jalan Beluru/Lapok, Bakong.

Terdahulu, pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan semula kes memandangkan laporan kimia berhubung barang kes masih belum siap.

Majistret Zuraini Ali Musa membenarkan permohonan itu dan menetapkan 17 April ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Marudi.

Manakala kedua-dua tertuduh tidak ditawar jaminan kemudian diperintahkan supaya ditahan lanjut sementara menunggu tarikh tersebut.

Advertisement