Anda di sini

Dakwaan salah guna kuasa, pengetua wanita diperintah bela diri

Advertisement

SHAH ALAM: Seorang pengetua sekolah menengah diperintah membela diri atas tiga pertuduhan salah guna kuasa membabitkan pembekalan barangan untuk aktiviti sekolah bernilai RM6,591.65 menerusi syarikat miliknya.

Hakim Mahkamah Sesyen Rozilah Salleh memutuskan perkara itu selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Norliza Mat Radzi, 49.

Rozilah menetapkan 8 Mei ini bagi wanita itu membela diri.

Sepanjang perbicaraan itu yang bermula Februari lepas, pendakwaan yang dikendali Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Hazirah Azeman telah memanggil 13 saksi untuk memberi keterangan.

Norliza yang diwakili peguam Mohd Tajuddin Abd Razak memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang tertuduh.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa pihak pembelaan akan memanggil tiga saksi termasuk tertuduh untuk memberi keterangan.

Pada 3 Nov tahun lepas, Norliza mengaku tidak bersalah memilih syarikatnya, Orean Collection, sebagai pembekal bahan bantu mengajar berjumlah RM2,091.65.

Wanita itu juga didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan pembekalan tuala kecil bernilai RM500 dan membekalkan pakej hamper, set fail, alat tulis serta medal perasmian bernilai RM4,000 bagi menjalankan aktiviti sekolahnya.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di sekolah itu yang terletak di Pelabuhan Klang dekat sini, antara 12 Feb dan 13 April tahun lepas.

Norliza didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi. — Bernama

Advertisement