Anda di sini

Taliban sasar petugas banci di Lahore

Advertisement

Lima maut dan 10 cedera dalam letupan di ibu negeri wilayah Punjab itu

 Satu pasukan forensik tiba untuk menjalankan siasatan lanjut di tempat kejadian di tengah Lahore, semalam. — Gambar AFP
DIHANTUI LETUPAN: Satu pasukan forensik tiba untuk menjalankan siasatan lanjut di tempat kejadian di tengah Lahore, semalam. — Gambar AFP

LAHORE: Sekurang-kurangnya lima maut dan 10 cedera dalam letupan yang dipercayai serangan Taliban yang menyasari pasukan banci di bandar timur Lahore di Pakistan semalam, menurut pegawai dan militan.

Pasukan keselamatan menyita kawasan tersebut di Jalan Bedian di ibu negeri sibuk wilayah Punjab itu selepas letupan tersebut yang menurut anggota penyelamat berlaku sebelum jam 8 pagi waktu tempatan.

Pasukan forensik juga dapat dilihat berada di tempat kejadian.

Kumpulan Taliban Pakistan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu dalam mesej yang dikirim kepada AFP.

Kejadian ini dipercayai perbuatan terorisme,” menurut menteri undang-undang wilayah Punjab Rana Sanaullah dalam komen di televisyen, meskipun pegawai lain memberi amaran mereka masih menyiasat punca letupan.

Menteri kesihatan negeri Khawaja Imran Nazir mengesahkan lima maut.

Seorang pegawai polis mendakwa pasukan banci telah disasari, tetapi Lembaga Banci Pakistan enggan mengulas.

TTP pula mendakwa ia melancarkan serangan itu untuk membalas dendam ke atas pasukan keselamatan.

Pasukan banci yang diiringi askar dan pasukan keselamatan menjalankan banci pertama Pakistan dalam tempoh hampir dua dekad, satu tugas besar dan berisiko tinggi yang boleh melukis semula peta politik negara setahun sebelum pilihan raya parlimen.

Pegawai polis terbabit berkata, sekurang-kurangnya 10 cedera, walaupun anggota penyelamat mendakwa jumlah sebenar adalah 18.

Sesetengah pegawai mulanya menggambarkan insiden tersebut sebagai letupan tong gas namun kemudian menegaskan masih menyiasat.

Setakat ini tiada komen segera daripada tentera.

Terdapat kemungkinan kejadian ini adalah serangan nekad,” kata pegawai Lahore Abdullah Sumbal.

Banci adalah tanggungjawab negara dan kami akan menyelesaikan tugas ini.

Tiada kekurangan keselamatan tetapi semengnya sukar menangani serangan nekad,” tambah beliau.

Lahore sememangnya tegang sejak gelombang serangan ganas di seluruh Pakistan pada Februari meragut nyawa 130 orang.

Serangan termasuklah satu letupan bom di bandar timur itu pada 13 Februari yang membunuh 14 orang dalam serangan yang diakui Jamaat-ul-Ahrar (JuA), cabang Taliban Pakistan.

Sepuluh hari kemudian, satu lagi letupan mencetuskan panik di bandar raya itu apabila membunuh lapan orang, walaupun pegawai kemudian mengesahkan kejadian berpunca daripada kebocoran gas.

Letupan semalam berlaku hanya beberapa hari selepas 22 maut dan 57 cedera pada 31 Mac lalu apabila satu bom kereta meranapkan sebuah pasar di kawasan Syiah dalam serangan yang turut diakui JuA. — AFP

Advertisement