Anda di sini

Stanchart naikkan unjuran pertumbuhan KDNK kepada 4.1%

Advertisement

KUALA LUMPUR: Standard Chartered Bank (Stanchart) meningkatkan unjurannya bagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 4.1 peratus berbanding 3.8 peratus sebelum ini, didorong oleh pemulihan eksport baru-baru ini.

Kumpulan perbankan global itu berkata pertumbuhan eksport adalah menggalakkan pada akhir 2016, naik 11 peratus tahun ke tahun pada Disember berbanding purata bulanan sebanyak 0.2 peratus bagi tempoh Januari-November 2016.

Harga komoditi yang pulih berbanding paras pada tahun lepas akan meningkatkan momentum pertumbuhan,” katanya dalam Laporan Fokus Global suku kedua di sini semalam.

Ia turut meningkatkan unjurannya bagi lebihan akaun semasa pada tahun ini kepada tiga peratus daripada KDNK berbanding dua peratus yang diunjurkan sebelum ini.

Semakan semula menaik kami menunjukkan peningkatan harga komoditi, peningkatan eksport elektronik yang kukuh dan jangkaan penurunan pertumbuhan import barangan pengguna dan modal,” katanya.

Stanchart berkata pelaburan dijangka meningkat sedikit pada tahun ini dengan dorongan yang positif bagi pelaburan minyak dan gas berikutan sentimen masih berhati-hati susulan kemerosotan harga sebelum ini.

Kelembapan dalam urus niaga hartanah turut dijangka menyekat pelaburan dalam struktur,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, projek infrastruktur kerajaan akan menyediakan momentum positif seperti dapat dilihat pada tahun lepas apabila pemberian projek kerajaan meningkat hampir 19 peratus.

Bank itu berkata unjuran purata inflasi pada tahun ini turut meningkat kepada 3.6 peratus, lebih tinggi berbanding unjuran bank pusat sebanyak dua-tiga peratus, susulan rasionalisasi subsidi dan harga bahan api tempatan yang lebih tinggi.

Katanya penggunaan isi rumah dijangka susut berbanding 2016 berikutan kesan asas yang tidak menggalakkan dijangka bermula dari separuh kedua tahun ini dan pasaran buruh yang lembap.

Kadar pengangguran agak tinggi pada 3.5 peratus pada Disember tahun lepas dan pertumbuhan pekerjaan hanya 0.6 peratus tahun ke tahun,” katanya.

Stanchart berkata pertumbuhan gaji diunjurkan lebih rendah pada tahun ini berbanding tahun lepas dipengaruhi oleh peningkatan inflasi.

Mengenai dasar monetari, katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka memastikannya tidak berubah pada tahun ini.

BNM mungkin memilih untuk mengambil pendirian tunggu dan lihat, terutamanya apabila ketidaktentuan pasaran luaran meningkat dan inflasi lebih tinggi,” katanya.

Katanya kecairan dagangan pertukaran asing dalam negeri adalah rendah dan sebarang peningkatan dalam dolar AS mungkin membawa kepada ketidaktentuan pertukaran asing yang lebih tinggi.

Oleh itu, bank pusat mungkin mengelak daripada melonggarkan dasar monetari, yang boleh menyebabkan ketidaktentuan pertukaran asing meningkat,” katanya.

Stanchart berkata ia turut menjangka penyusutan nilai ringgit akan berterusan untuk seketika susulan dolar AS yang kukuh dan kenaikan kadar Rizab Persekutuan AS.

Katanya kadar pertukaran efektif sebenar ringgit adalah sebanyak 12 peratus di bawah purata 10 tahun dan lebih murah berbanding semasa krisis kewangan Asia.

Bank itu berkata jumlah dagangan dolar AS-ringgit merosot dengan ketara dan ini mungkin mengurangkan minat pelabur.

Pada masa sama, kami fikir peningkatan dolar AS-ringgit dibatasi oleh harga komoditi yang meningkat dan langkah-langkah untuk meningkatkan bekalan dolar AS melalui jualan hasil pengeksport,” katanya.

Sementara itu, bank tersebut menjangka kedudukan dana bon asing kekal berkurangan dan akan mengurangkan risiko jualan selanjutnya melainkan wajaran indeks Malaysia terus merosot daripada lapan peratus pada masa ini. — Bernama

Advertisement