Anda di sini

Produk glulam dijangka tembusi pasaran Australia dalam dua tahun

Advertisement
 Mah (tengah) bersama Hanafee (dua kanan) pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-25 PEKA di Putrajaya kelmarin. — Gambar Bernama
MAJLIS ULANG TAHUN: Mah (tengah) bersama Hanafee (dua kanan) pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-25 PEKA di Putrajaya kelmarin. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Produk kayu lapis berperekat atau glulam, dijangka dapat dipasarkan di Australia dalam tempoh dua tahun, kata Presiden Persatuan Pengusaha Kayu-Kayan & Perabot Bumiputera (PEKA) Hanafee Yusoff.

Beliau berkata langkah untuk memasarkan produk itu akan dibuat selepas kajian termasuk mengenai spesies kayu tropika Malaysia yang sesuai.

Ia perlu berlandaskan kod standard yang ditetapkan untuk digunakan sebagai bahan struktur yang mampu menanggung beban, katanya.

Produk glulam, produk kayu struktur yang dihasilkan dengan proses perekatan dan sangat kuat, sudah diterima baik di Australia dan menjadi trend di beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat.

Hanafee berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sambutan ulang tahun ke-25 PEKA yang dirasmikan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong, di sini kelmarin.

Beliau berkata produk itu telah digunakan di dalam negara dalam pembinaan pontun di Sungai Melaka, kediaman Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara di Putrajaya.

Persatuan kini bekerjasama dengan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) untuk menjalankan kajian berkenaan, katanya dan menambah glulam berpotensi besar dalam industri binaan serta landskap seni bina.

Sementara itu, Mah dalam ucapan perasmiannya berkata industri perkayuan merupakan antara penyumbang terbesar kepada pendapatan negara dan nilai keseluruhan eksport produk perkayuan negara dianggarkan RM22 bilion pada tahun lalu.

Eksport keseluruhan perabot termasuk perabot berasaskan kayu ialah RM9.53 bilion dan prestasi itu meningkat sebanyak 4.2 peratus berbanding RM9.14 bilion pada 2015.

Pada masa ini, perabot Malaysia telah berjaya dieksport ke lebih 160 buah negara dan ia menjadikan Malaysia sebagai pengeksport kelapan terbesar di dunia.

Peningkatan ini sejajar dengan hasrat negara untuk mencapai 60 peratus eksport produk kayu bernilai tinggi bagi industri perkayuan menjelang 2020,” katanya.

Bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam industri ini pada masa hadapan, Mah berkata kementerian telah merangka satu program latihan melibatkan kerjasama antara usahawan Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Katanya program perintis yang bermula pada Januari hingga September tahun lepas, membabitkan 10 orang yang diberikan latihan dan bimbingan di lima kilang perabot bukan Bumiputera di Muar. — Bernama

Advertisement