Anda di sini

Pos Malaysia labur RM150j untuk tingkat kapasiti IPC

Advertisement

Proses dan serah sehingga 516,000 transaksi setiap hari

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd melabur RM150 juta bagi meningkatkan kapasiti pengendalian Pusat Pembungkusan Bersepadunya (IPC) di Shah Alam dan Sepang.

 Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata peningkatan berkenaan akan membolehkan IPC memproses dan menyerahkan sehingga 516,000 transaksi setiap hari menjelang 2019 berbanding 150,000 sekarang ini.

 “Peningkatan berkenaan akan dilaksanakan serentak. Dalam tempoh dua tahun, kapasiti IPC Shah Alam dijangka bertambah kepada 316,000 transaksi sehari,” katanya.

 Shukrie berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian dengan Tigers Global Logistics Sdn Bhd di sini semalam.

 Perjanjian berkenaan bagi menawarkan penyelesaian perniagaan e-penunaian rentas sempadan pertama Malaysia di rantau Asia Pasifik.

 Beliau berkata apabila IPC Sepang siap kelak, juga dalam tempoh yang sama, jumlah kapasiti akan mencecah 516,000 unit sehari.

 Peningkatan IPC berkenaan adalah bagi PosLaju, cabang perkhidmatan kiriman cepat atau kurier Pos Malaysia, yang kini diterajui oleh industri perkhidmatan kiriman cepat domestik, katanya.

 IPC Shah Alam terletak di Pusat Mel Nasional di Seksyen 21, Shah Alam, manakala IPC Sepang terletak di pusat serantau Pos Malaysia berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.

 Penyedia perkhidmatan pos negara itu menjangka perniagaan kurier akan menyumbang separuh daripada perolehannya bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac, 2017 daripada 45 peratus pada tahun kewangan 2016, katanya.

 Shukrie berkata kumpulan dalam usaha meningkatkan keupayaan dan infrastruktur bagi memiliki perkhidmatan e-penunaian lengkap yang diperlukan oleh industri memandangkan permintaan bagi perkhidmatan e-dagang akan meningkat seiring dengan saiz pasaran keseluruhan yang berkembang.

 Mengenai masa depan, beliau berkata Pos Malaysia akan terus berubah dan memperbaharui kemampuannya untuk kekal relevan dan berdaya saing.

 Beliau berkata segmen e-dagang syarikat dijangka menyumbang kira-kira RM1 bilion kepada perolehan dalam tempoh setahun hingga dua tahun berbanding RM738 juta dalam perolehan (kira-kira 44 peratus daripada jumlah perolehan semasa) yang dijana oleh segmen berkenaan tahun lepas.

 Shukrie berkata dalam lima tahun hingga 10 tahun akan datang, sebanyak 60 hingga 70 peratus daripada perolehan Pos Malaysia berkemungkinan daripada e-dagang.

 Buat masa ini Pos Malaysia mempunyai rangkaian yang meluas di seluruh negara terdiri daripada pejabat pos, Pos Mini, Mesin Automasi Pos, outlet mudah alih, outlet Pos Laju dan pusat perkhidmatan, Pos Laju Kiosk, Pos Laju EziBox, Pos Laju Prepaid Dropbox, hab e-dagang, Pos Laju EziDrive-Thru, serta ejen pos dan setem. — Bernama

Advertisement