Anda di sini

Polis jejaki pengedar dadah dikenali sebagai ‘Boy’

Advertisement
 25 peket disyaki mengandungi dadah jenis ganja yang dirampas daripada suspek di Matang.
RAMPAS: 25 peket disyaki mengandungi dadah jenis ganja yang dirampas daripada suspek di Matang.

KUCHING: Polis sedang menjejaki seorang pengedar dadah dikenali sebagai ‘Boy’ dari kawasan Petra Jaya selepas tertangkapnya seorang penagih dadah dalam satu serbuan di Kampung Ulu, Matang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan berkata, suspek berusia 22 tahun itu ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di rumahnya sekitar jam 10.30 pagi.

Menurutnya, turut dirampas dalam serbuan tersebut ialah 25 peket lutsinar disyaki berisi ketulan mampat ganja dianggarkan seberat 248 gram.

Suspek ditangkap di rumahnya dan turut dirampas ialah 25 peket lutsinar berisi ketulan mampat ganja di dalam satu plastik berwarna hitam yang ketika itu dipegang oleh suspek.

Suspek semasa soal siasat juga memgaku semua dadah tersebut kepunyaannya yang dibeli daripada seorang pengedar dikenali dengan panggilan ‘Boy’ dengan harga RM140 satu peket dan akan dijual semula dengan harga RM150,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Aidil memberitahu suspek didapati positif dadah jenis ganja.

Selain itu, suspek juga mengaku terlibat menghisap dadah ganja sejak awal tahun ini,” katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seskyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara dalam kejadian berasingan, dua remaja ditahan polis kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Wan Alwi di sini, kelmarin.

Difahamkan, suspek berusia 18 dan 19 tahun itu ditahan untuk pemeriksaan sebelum polis menemui satu peket disyaki mengandungi dadah jenis ganja iaitu seberat sekitar 60 gram dari dalam saku seluar seorang daripada remaja terbabit.

Bagaimanapun, tiada sebarang penemuan barang terlarang daripada suspek kedua dan kedua-dua mereka telah dibawa ke Balai Polis Sekama untuk siasatan lanjut,” kata sumber yang turut memberitahu kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 6 ADB 1952.

Advertisement