Anda di sini

Pelajar cemerlang SPM tetap dihantar ke UK

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang menghentikan penghantaran pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi melanjutkan pengajian ke United Kingdom (UK).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri S.K. Devamany berkata program penghantaran pelajar itu tetap diteruskan walaupun berlaku kegawatan ekonomi dunia ketika ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Izani Husin (PAS-Pengkalan Chepa) berkenaan pemberhentian penghantaran pelajar Malaysia ke UK pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Mengulas lanjut, Devamany berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menaja seramai 1,651 pelajar untuk melanjutkan pengajian ke UK sehingga 1 Jan tahun ini di bawah Program Penajaan Nasional (PPN).

Jelasnya, program penajaan kepada 20 pelajar SPM cemerlang kali ini adalah di 10 universiti terkemuka di UK, antaranya Universiti Oxford, Imperial College London dan Univerisiti Cambridge.

Penajaan melibatkan lapan bidang iaitu bidang Sains Komputer, Teknologi Maklumat, Sains Bahan, Matematik, Pengurusan Kewangan, Pengurusan Perniagaan, Politik dan Psikologi.

Pilihan universiti dibuat berdasarkan kedudukan paling tinggi dalam QS World University Ranking 2016 dan pemilihan bidang mengikut tuntutan sumber manusia dan peluang pekerjaan,” katanya.

Selain itu, katanya, JPA pada tahun ini akan membantu 461 pelajar cemerlang dalam Program Penajaan 9A+ untuk melanjutkan pelajaran di universiti tempatan.

Beliau berkata JPA akan turut menaja pelajar cemerlang SPM yang meraih 7A melalui program Khas Kejuruteraan ke Jepun, Korea, Perancis dan Jerman (JKPJ), selain 7,000 pelajar akan ditaja melalui Program Ijazah Dalam Negara (PIDN).

Menurutnys, satu program khusus akan turut diperkenalkan untuk 1,000 pelajar dari keluarga golongan berpendapatan B40 bagi mengambil diploma dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). — Bernama

Advertisement