Anda di sini

Moscow pertahan tindakan Damsyik

Advertisement

Kekejaman di Idlib dikecam hebat dunia

 Dua kanak-kanak Syria menerima oksigen susulan serangan gas beracun di Khan Sheikhun, kelmarin manakala kombinasi imej pegun daripada video dalam laman media sosial kelmarin menunjukkan orang ramai bergelimpangan di atas jalan raya, seorang lelaki yang cedera disembur dengan air, seorang kanak-kanak kecil dibantu anggota pertahanan awam, kesemuanya susulan serangan gas beracun di Khan Sheikhun, Idlib. — Gambar AFP/Reuters
Kombinasi imej pegun daripada video dalam laman media sosial kelmarin menunjukkan orang ramai bergelimpangan di atas jalan raya, seorang lelaki yang cedera disembur dengan air, seorang kanak-kanak kecil dibantu anggota pertahanan awam, kesemuanya susulan serangan gas beracun di Khan Sheikhun, Idlib. — Gambar AFP/Reuters

KHAN SHEIKHUN: Moscow semalam mempertahan sekutunya Damsyik yang berdepan kemarahan antarabangsa susulan serangan kimia yang membunuh puluhan orang awam dengan mendakwa jet pejuang Syria mengebom ‘gudang teroris’.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tergempar lewat semalam mengenai serangan tersebut yang membunuh sekurang-kurangnya 72 orang awam, 20 daripadanya kanak-kanak, di bandar pemberontak Khan Sheikhun kelmarin.

Washington dan London menuduh kerajaan Presiden Bashar al-Assad mendalangi serangan itu tetapi rejim menafikan sebarang penggunaan senjata kimia.

Moscow yang menjalankan campur tangan ketenteraan sejak 2015 sebagai sokongan buat tentera Assad, mendakwa kematian tersebut diakibatkan oleh serangan udara Syria yang mengebom sebuah ‘gudang teroris yang mengandungi bahan beracun’.

Kementerian pertahanan Rusia mendakwa bangunan itu menempatkan gudang pembuatan bom dengan bahan beracun tanpa menyatakan sama ada serangan itu disengajakan atau tidak sengaja.

Kementerian mendakwa simpanan senjata kimia itu untuk pejuang di Iraq dan menggambarkan maklumatnya sebagai objektif dan boleh dipercayai sepenuhnya.

Tentera Syria terdahulu menafikan sebarang penggunaan senjata kimia dengan menegaskan mereka tidak pernah menggunakannya pada bila-bila masa di mana sahaja dan tidak akan berbuat demikian pada masa hadapan.

Dakwaan Rusia dan penafian Syria sama sekali tidak berhasil menghentikan kecaman dunia dengan ketua PBB Antonio Guterres semalam menyifatkan kejadian mengerikan itu menunjukkan jenayah perang sedang berlaku di Syria.

Pihak lain menyalahkan Damsyik secara langsung termasuk Setiausaha Luar Britain Boris Johnson yang mendakwa semua bukti yang dilihatnya mencadangkan dalangnya adalah rejim Assad.

Semua bukti yang telah saya lihat mencadangkan kejadian ini dilakukan oleh rejim Assad, menggunakan senjata haram ke atas rakyatnya sendiri,” kata Johnson ketika tiba untuk persidangan bantuan untuk Syria di Brussels.

Setiausaha Luar Amerika Syarikat (AS) Rex Tillerson turut menuduh rejim dengan menyatakan bahawa kejadian tersebut membuktikan cara rejim Assad beroperasi - dengan kekejaman yang ganas dan tidak berperikemanusiaan.

Sekiranya disahkan, serangan tersebut antara insiden terburuk melibatkan penggunaan senjata kimia dalam perang saudara yang kejam di Syria yang telah meragut nyawa lebih 320,000 orang sejak bermula pada Mac 2011.

Serangan bermula pada awal pagi kelmarin apabila jet pejuang melancarkan serangan yang membebaskan gas beracun di Khan Sheikhun, wilayah barat laut Idlib, menurut saksi dan badan pemantau berpusat di Britain.

Kami berlari masuk ke dalam rumah dan melihat seisi keluarga mati bergelimpangan di atas katil mereka.

Kanak-kanak, wanita, orang tua juga mati bergelimpangan di jalanan,” kata penduduk Abu Mustafa tentang kesan serangan itu.

Syrian Observatory for Human Rights berkata, sekurang-kurangnya 160 orang mengalami kesan gas tersebut, dengan sumber perubatan melaporkan insiden mangsa muntah-muntah, pengsan, mengalami masalah pernafasan dan mulut berbuih.

Anggota perubatan Hazem Shehwan berkata, beliau melihat mangsa dengan anak mata mengecil, sawan, mulut berbuih dan denyutan jantung kuat.

Anggota perubatan bergegas merawat ramai mangsa bergilir-gilir, menyampaikan oksigen dan menyembur mangsa dengan air untuk membuang sisa bahan kimia.

Walaupun ketika mereka giat bekerja, serangan udara terus menyasari sebuah pusat perubatan yang sedang merawat mangsa, mengakibatkan anggota perubatan dan mangsa dihujani runtuhan bangunan, menurut koresponden AFP.

Serangan udara dilancarkan sekali lagi pagi semalam ke atas Khan Sheikhun, menurut Observatory yang tidak dapat memberitahu jumlah mangsa.

Pertubuhan Pengharaman Senjata Kimia (OPCW) berkata, ia amat bimbang tentang laporan serangan kelmarin.

Suruhanjaya Inkuiri untuk Syria PBB juga telah memulakan siasatan mengenai dakwaan penggunaan senjata kimia.

Britain, Perancis dan As menyampaikan resolusi kepada Majlis Keselamatan semalam menyeru OPCW untuk segera melaporkan hasil penemuan mengenai serangan itu. — AFP

Advertisement