Anda di sini

Mata demerit sistem AWAS bermula 15 April

Advertisement

Pengguna diberi tempoh percubaan dua minggu sebelum dikenakan mata demerit

 Liow bergambar kenangan bersama peserta semasa Mesyuarat Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan Global Kelima bagi Menyokong Keselamatan Jalan Raya dan Mangsa Jalan Raya di Sepang, semalam. Turut hadir Setiausaha Agung PBB Duta Khas Keselamatan Jalan Raya, Jean Todt. — Gambar Bernama
UNTUK ALBUM: Liow bergambar kenangan bersama peserta semasa Mesyuarat Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan Global Kelima bagi Menyokong Keselamatan Jalan Raya dan Mangsa Jalan Raya di Sepang, semalam. Turut hadir Setiausaha Agung PBB Duta Khas Keselamatan Jalan Raya, Jean Todt. — Gambar Bernama

SEPANG: Pesalah jalan raya akan dikenakan mata demerit di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) mulai 15 April ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata AWAS dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) telah dilaksanakan pada 1 April bagi mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya dalam negara.

Pengguna jalan raya akan diberi tempoh percubaan dua minggu sebelum dikenakan mata demerit, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Mesyuarat Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan Global Kelima bagi Menyokong Keselamatan Jalan Raya dan Mangsa Jalan Raya di sini semalam.

Pengguna jalan raya akan diberi masa percubaan dua minggu daripada 1 hingga 15 April. Menjelang 15 April, kita akan mewarta dan memulakan sistem demerit.

Kita akan memberitahu pengguna jalan raya yang dirakam kamera automatik kita semasa tempoh percubaan yang mereka akan dikenakan sistem demerit bagi memandu laju atau melanggar lampu isyarat.

Namun tiada mata yang akan dipotong ekoran ia adalah masih dalam tempoh percubaan,” katanya.

Setakat ini, kata Liow, terdapat 14 kamera sistem penguatkuasaan automatik (AES) dipasang di seluruh negara dan ia akan ditambah dari semasa ke semasa.

Ia adalah sistem yang efektif kerana semua kesalahan jalan raya dirakam, jadi kita boleh membawa kamu ke mahkamah dan pada masa yang sama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh memotong mata daripada lesen kamu,” katanya.

Beliau berkata pengguna jalan raya yang memperoleh mata maksimum 20 akan dikenakan penalti secara berperingkat sama ada diberi amaran, penggantungan atau penarikan balik lesen memandu.

Semua kesalahan tersebut, banyak mana mata akan dipotong akan dipapar pada laman web JPJ agar semua pengguna jalan raya boleh memahami sistem ini dengan baik. Kita mahu memberi pemberitahuan dan melaksanakannya dengan segera,” tambahnya.

Mengenai pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang dan peraturan sebelum 1 April, Liow berkata mereka tidak termasuk dalam sistem kerana ia akan diwarta secara rasmi pada 15 April, tetapi mereka perlu membayar kompaun yang dikurangkan kepada RM150 daripada RM300.

Bagi mereka yang gagal membayar kompaun, Liow berkata mereka akan disenarai hitam dan tidak boleh memperbaharui cukai jalan.

Mengenai kurikulum sekolah memandu, beliau berkata Kurikulum Pendidikan Pemandu akan dipanjangkan ke Taman Bimbingan Kanak-Kanak dan sekolah rendah dan akan melalui tempoh percubaan tahun depan.

Dalam ucapannya, beliau berkata 19 terbunuh setiap hari dalam kemalangan jalan raya di Malaysia yang menyebabkan antara 6,500 hingga 7,000 kematian setiap tahun dengan anggaran kerugian RM9 bilion kepada ekonomi negara.

Mesyuarat semalam menerima pakai Deklarasi Malaysia untuk memperkukuh komitmen mengurangkan kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus pada 2020, susulan laporan lebih 1.25 juta orang di dunia mati dalam kemalangan jalan raya dan puluhan jutaan cedera setiap tahun.

Lebih 100 peserta daripada 16 negara menyertai mesyuarat tersebut bagi mencari jalan membasmi kemalangan jalan raya yang kini menjadi pembunuh nombor satu golongan belia berumur antara 15-29 tahun. — Bernama

Advertisement