Anda di sini

Jika boleh, elak hidang makanan semasa mesyuarat selepas makan tengah hari: KSN

Advertisement

PUTRAJAYA: Elakkan menghidang makanan untuk mesyuarat kementerian atau jabatan terutama yang diadakan sejurus makan tengah hari supaya tidak membazir, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya dalam sebahagian mesyuarat, makanan yang dihidangkan langsung tidak disentuh yang akhirnya membawa kepada pembaziran.

Jika anda dapat elak perkara itu dan jika boleh jangan hidang apa-apa (makanan) terutama jika anda perlu menghadiri mesyuarat sebaik selepas makan tengah hari. Kita perlu berhenti hidang makanan, mungkin hanya air mineral jika perlu,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan kempen MYSaveFood untuk penjawat awam di sini semalam, Ali berkata beberapa kementerian telah mengamalkan konsep berkenaan dan agensi-agensi lain adalah digalakkan untuk mencontohinya.

Katanya, kementerian tidak perlu mengeluarkan garis panduan mengenai langkah itu namun memadai bagi ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan menjadikan amalan itu sebagai matlamat organisasi masing-masing.

Ali dalam pada itu menggesa semua 1.6 juta penjawat awam agar turut memainkan peranan dalam kempen MYSaveFood yang membawa slogan ‘Hentikan Pembaziran, Hentikan Kelaparan’ dengan mengelak pembaziran makanan.

Kempen ini bukan sahaja untuk penjawat awam tetapi juga untuk membawa kesedaran kepada keluarga masing-masing dengan mencapai anggaran sebanyak lima juta orang,” katanya.

Kempen yang dimulakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada Mac 2016 itu menyasarkan pengurangan separuh jumlah pembaziran makanan di Malaysia menjelang 2030 selaras dengan objektif ‘Save Food’ peringkat global diterajui Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa Bersatu (FAO). — Bernama

Advertisement