Anda di sini

Cuti sekolah tidak boleh seragam dengan cuti IPT

Advertisement

KUALA LUMPUR: Cuti persekolahan tidak boleh diseragamkan dengan cuti Institut Pengajian Tinggi kerana penstrukturan kalendar akademik adalah termaktub di bawah pertimbangan dan perancangan IPT, menurut Kementerian Pendidikan.

Kementerian Pendidikan berkata perkara itu juga selaras dengan kuasa autonomi sedia ada berlandaskan kalendar tahunan yang memuatkan cuti umum di Malaysia.

Cuti persekolahan sekolah kerajaan di negara ini tertakluk kepada peraturan-peraturan pendidikan (penggal, hari dan cuti sekolah) yang telah menetapkan hari sekolah bagi mana-mana satu tahun persekolahan hendaklah tidak kurang daripada 190 hari,” katanya.

Kementerian menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) mengenai manfaat cuti antara pelajar peringkat sekolah, diploma dan ijazah tidak diadakan serentak.

Sementara itu dalam isu berasingan, Kementerian Pendidikan memaklumkan pelaksanaan semakan kurikulum sedang dilakukan bagi semua mata pelajaran termasuk Pendidikan Islam.

Katanya kurikulum baharu iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (Semakan 2017) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah dilaksanakan bermula dengan murid Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada tahun ini.

Menurut kementerian, dalam kurikulum baharu itu dimasukkan elemen pengukuhan kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah bermazhab Shafie yang berteraskan konsep wasatiyah.

Kurikulum Pendidikan Islam yang dibina adalah bagi memenuhi keperluan memberi pendidikan Islam yang lengkap, menyeluruh dan bersepadu kepada murid-murid di sekolah,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Dr Izani Husin (PAS-Pengkalan Chepa) yang ingin tahu semakan kali terakhir kurikulum subjek agama Islam sekolah menengah oleh kementerian.

Kurikulum berkenaan merangkumi enam bidang pembelajaran iaitu al-Quran, Hadis, Akidah, Fiqah, Sirah dan Tamadun Islam serta Akhlak. — Bernama

Advertisement