Anda di sini

Buruh asing guna dadah dihadap ke mahkamah

Advertisement

MIRI: Seorang buruh warga asing dihadap ke Mahkamah Majistret semalam atas tuduhan menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine.

Gaizar Sahibbon Danuk, 20, dari Filipina telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda RM5,000 atau penjara dua tahun, jika sabit kesalahan serta dikehendaki menjalani pengawasan serta-merta selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun di bawah Seksyen 38B ADB 1952.

Berdasar pertuduhan kes, tertuduh dituduh menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.25pagi, 4 April lalu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri.

Terdahulu, pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan semula kes memandangkan laporan kimia berhubung kes tersebut masih belum siap.

Majistret Zuraini Ali Musa membenarkan permohonan itu dan menetapkan 5 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Manakala tertuduh diperintahkan supaya ditahan lanjut sementara menunggu tarikh tersebut.

Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Advertisement