Anda di sini

Bakal bertemu Trump, Xi singgah di Finland

Advertisement
 Xi ditemani isterinya Peng Liyuan sejurus tiba di Lapangan Terbang Helsinki di Vantaa, kelmarin. — Gambar Reuters
DISAMBUT MESRA: Xi ditemani isterinya Peng Liyuan sejurus tiba di Lapangan Terbang Helsinki di Vantaa, kelmarin. — Gambar Reuters

HELSINKI: Presiden China Xi Jinping yang dalam perjalanan untuk pertemuan pertama yang amat ditunggu-tunggu dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, singgah untuk bertemu rakan sejawatannya di Helsinki, semalam.

Pemimpin China itu dalam lawatan pertama ke Finland sejak 1995 sekali gus meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-100 negara Nordik itu.

Sepanjang 67 tahun hubungan diplomatik, perhubungan China-Finland telah menikmati pertumbuhan kukuh dan stabil di sebalik perubahan landskap antarabangsa,” menurut Xi dalam satu kenyataan lewat kelmarin sejurus tiba di Helsinki.

China merupakan rakan dagangan kelima terbesar Finland dan Xi menjelaskan bahawa beliau melihat ruang dan potensi yang luas untuk kerjasama ekonomi dan dagangan seterusnya.

Menjelang pertemuan rasmi Xi dengan Sauli Niinisto semalam, rakyat Finland berharap Xi akan menjadikan negara mereka destinasi seterusnya ‘diplomasi panda’ Beijing.

Pegawai kedua-dua negara sudah lama berunding mengenai pajakan sepasang panda gergasi kepada Zoo Ahtari di tengah Finland, di mana pembinaan sangkar baharu untuk panda yang sedang giat dilaksanakan dan dijangka menelan belanja lebih lapan juta euro.

Selepas Helsinki, Xi akan meneruskan perjalanannya merentasi Atlantik ke Florida, di mana rundingan dagangan dengan Trump hari ini dijangka lebih sukar berbanding dengan negara Nordik yang mesra itu.

Trump telah memberi amaran rundingan dengan Xi pasti amat sukar dan menuduh China mencuri pekerjaan dan industri Amerika semasa menjalankan kempennya.

Data Jabatan Dagangan AS kelmarin bagaimanapun menunjukkan defisit AS dengan China meningkat AS$1.6 bilion kepada AS$31.7 bilion setakat bulan Februari lalu. — AFP

Advertisement