Anda di sini

Metro Saint Petersburg dibom

Advertisement
 Sebuah gerabak yang remuk akibat letupan kuat dapat dilihat dari sebalik tingkap di stesen metro Tekhnologicheskiy Institut di Saint Petersburg, kelmarin. — Gambar Reuters
MEMBIMBANGKAN: Sebuah gerabak yang remuk akibat letupan kuat dapat dilihat dari sebalik tingkap di stesen metro Tekhnologicheskiy Institut di Saint Petersburg, kelmarin. — Gambar Reuters

SAINT PETERSBURG: Bandar kedua Rusia Saint Petersburg berkabung semalam selepas satu letupan dalam sistem metronya membunuh 11 orang dan mencederakan puluhan yang lain, tatkala Kyrgyzstan mendakwa seorang pengebom nekad dari negara Asia Tengah itu bertanggungjawab.

Bendera tiga warna Rusia dikibarkan separuh tiang ketika bandar raya itu memulakan perkabungan tiga hari.

Menteri kesihatan Rusia berkata semalam 14 maut akibat letupan yang meremukkan sebuah gerabak kereta api dalam sistem metro Saint Petersburg.

“Kami dapat menjelaskan pada hari ini bahawa 14 maut,” kata Veronika Skvortsova kepada wartawan sambil menambah, 49 orang kini menerima rawatan di hospital.

Kawalan keselamatan dipertingkat dalam sistem metro yang telah dibuka semula, namun para penumpang masih dihantui kejadian tragik itu.

“Semua orang dalam metro hanya dapat memikirkan tentang kejadian tersebut,” kata Svetlana Golubeva, 45, sambil memasuki stesen bawah tanah Saint Petersburg.

Pasukan penyiasat telah melancarkan siasatan terorisme tetapi menegaskan punca lain juga akan diteliti dalam kejadian yang menjejaskan laluan metro tengah yang sibuk pada petang Isnin.

Perkhidmatan keselamatan Kyrgyzstan berkata semalam bahawa serangan itu didalangi seorang pengebom nekad bernama Akbarjon Djalilov, rakyat Rusia yang dilahirkan di selatan Kyrgyzstan pada 1995.

“Dia seorang rakyat Rusia,” kata jurucakap Rakhat Sulaimanov di Bishkek sambil menjelaskan bahawa perkhidmatan keselamatan kini bekerjasama dengan rakan sejawatan di Rusia.

Pihak berkuasa Rusia sendiri belum lagi mengulas mengenai identiti pengebom yang didakwa itu.

Setakat ini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab.

Gambar yang disiarkan di televisyen kebangsaan menunjukkan pintu sebuah gerabak remuk akibat letupan dari dalam, manakala mayat berlumuran darah bergelimpangan di atas pelantar stesen.

Letupan berlaku dalam terowong antara dua hab utama dalam sistem metro.

Presiden Vladimir Putin kelmarin menawarkan takziah ketika mengadakan mesyuarat di luar Saint Petersburg sebelum muncul kemudian untuk meletakkan sejambak ros merah di pintu masuk salah sebuah stesen tersebut, Tekhnologicheskiy Institut, di mana orang ramai telah mewujudkan tapak peringatan sementara.

Angka kematian dalam kejadian itu masih 11, manakala 45 orang cedera, menurut pihak berkuasa antiterorisme sebelum itu.

“Saya sekarang takut untuk menaiki metro.

“Sebelum ini kami menyangka kejadian seperti ini tidak akan berlaku di Saint Petersburg, tetapi sekarang bandar raya kami berdepan ancaman,” kata Maria Ilyina, 30, yang ditemui di luar stesen.

Letupan berlaku dalam sebuah gerabak kereta api antara stesen sekitar jam 2.40 petang waktu tempatan, jelas jurucakap jawatankuasa antiteroris (NAK) Andrei Przhezdomsky.

Jawatankuasa NAK kemudian mengesahkan perkhidmatan keselamatan telah menemui satu lagi bahan letupan di stesen metro Vosstaniya Square, namun ia tidak meletup dan segera dineutralkan.

Canselor Jerman Angela Merkel mengecam kejadian tersebut sebagai satu perbuatan yang ganas, manakala Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menelefon Putin.

Ketua polisi luar Kesatuan Eropah (EU) Federica Mogherini pula mengulas dalam Twitter bahawa beliau mengikuti perkembangan bersama kesemua menteri luar EU yang berhimpun untuk mesyuarat di Luxembourg.

Pengangkutan bawah tanah Rusia pernah menjadi sasaran ekstremis sebelum ini.

Pada 2013, dua serangan nekad berlaku selang dua hari di stesen kereta api utama dan sebuah bas troli di bandar selatan Volgograd yang sebelum ini dikenali sebagai Stalingrad, mengakibatkan 34 maut.

Serangan nekad ke atas lapangan terbang Domodedovo di Moscow pula telah diakui pemberontak Kaukasus Utara yang membunuh 37 orang pada Januari 2011. — AFP

Advertisement