Anda di sini

Lelaki diarah bela diri tuduhan kelucahan melampau

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang lelaki bernasib baik apabila dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan merogol anak kandungnya.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad membebaskan dan melepaskan tertuduh yang  berusia 43 tahun, atas kesalahan itu tanpa dipanggil membela diri.

Keputusan itu dilakukan oleh mahkamah, selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang diwakili peguam P.J Perira.

Dalam dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 14 tahun pada waktu kejadian, pada Disember 2015 dan Februari 2016 di sebuah taman perumahan, di Manggatal, di sini.

Sekiranya disabitkan bersalah mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan, boleh dikenakan penjara maksimum 30 tahun dan tidak kurang 10 sebat.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan tertuduh membela dirinya pada 19 April depan atas pertuduhan melakukan suatu kelucahan melampau.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 377 E Kanun Keseksaan, dituduh melakukan kesalahan itu terhadap mangsa yang sama, pada November 2015 di tempat sama.

Hukuman yang diperuntukkan, boleh dikenakan penjara sehingga tempoh lima tahun serta dengan sebat.

Pada 5 Mei tahun lalu, tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan itu dan mengaku tidak bersalah.

Tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan diperintahkan terus direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah, sehingga kes berkenaan selesai.

Pendakwaan itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Hafizah Zahidah Abdul.

Advertisement