Anda di sini

Khianat: Lelaki didenda RM2,000, tiga minggu penjara

Advertisement

MIRI: Gara-gara merosakkan sebuah kipas dan pintu bernilai RM200 kepunyaan ibunya, seorang lelaki didenda RM2,000 atau tiga minggu penjara oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Mahkamah turut menetapkan 19 April ini pengurusan kes memandangkan tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan pertama kerana melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan RM2,500 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Muhammad Fazrul Arfiq Faizullah, 26, dari Bandar Baru Permyjaya di sini didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah mengugut mencederakan ibunya, Zaitun Midin, 50.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu jam 7.30 pagi, pada 29 Mac lalu di rumah keluarganya di lorong 6 Quadruplex Bandar Baru Permyjaya di sini.

Manakala dalam tuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan merosakkan sebuah kipas dan pintu rumah bernilai RM200 kepunyaan Zaitun.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kesalahan didakwa dilakukan tertuduh pada masa dan di tempat sama.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Advertisement