Anda di sini

Dua penyelia lombong haram didakwa sogok pegawai SPRM

Advertisement

KUALA LUMPUR: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan memberi rasuah kepada dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung aktiviti perlombongan pasir secara haram di tanah rizab kerajaan, di Putrajaya, tahun lepas.

K. Mohan, 42, dan How Ah Lai, 45, kedua-duanya merupakan penyelia tapak lombong haram, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mohan didakwa memberi suapan wang tunai RM2,000 kepada Penolong Kanan Penguasa SPRM, Mohd Izham Mohd Hashim, 36, sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah akta SPRM 2009.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Tanah Rizab Kerajaan, Taman Selatan, Presint 20, Putrajaya, pada jam 1.10 petang, 11 Feb 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

How pula didakwa memberi suapan wang tunai RM300 kepada Penolong Kanan Penguasa SPRM, Mohd Zaki Johari, 34, sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kesalahan sebuah lori yang membawa muatan pasir keluar daripada kawasan perlombongan di Presint 20, Putrajaya, kepada pihak berkuasa.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tapak perlombongan Presint 20, Putrajaya, antara jam 1 dan 1.30 petang, 11 Feb 2016 mengikut Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965 yang boleh dihukum mengikut seksyen SPRM sama yang memperuntukkan hukuman sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Zaki Mohd Salleh menawarkan wang jaminan RM20,000 untuk Mohan dan RM10,000 bagi How atas alasan jumlah jaminan itu adalah munasabah.

Peguam Datuk Rajpal Singh, yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan mereka perlu menyara keluarga.

Madihah membenarkan Mohan diikat jamin RM15,000 manakala How RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan kedua-dua tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 8 Mei ini untuk sebutan semula bagi kedua-dua kes. — Bernama

Advertisement