Anda di sini

Cubaan bunuh diri: Bekas banduan didenda RM1,000

KUALA LUMPUR: Seorang bekas banduan yang cuba membunuh diri dengan cara terjun dari aras satu di sebuah stesen monorel minggu lepas, didenda RM1,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Shaari Talip, 45, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di Stesen Monorel Tun Sambathan, Brickfields, di sini, pada jam 10 malam 29 Mac lepas.

Terdahulu, Mohd Shaari merayu kepada mahkamah supaya dikenakan hukuman ringan dengan alasan dia tidak bekerja dan hidup sebatang kara.

“Saya baharu sahaja keluar dari penjara pada 24 Mac lepas. Sebenarnya saya tertekan dengan pandangan masyarakat dan keluarga disebabkan itu saya bertindak untuk membunuh diri dan kini saya benar-benar menyesal.

“Saya berharap mahkamah dapat memberikan peluang semula untuk saya hidup seperti orang lain dan cukuplah hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan dikenakan ke atas saya sebelum ini yang amat memberi pengajaran kepada saya,” katanya yang tidak diwakili peguam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — Bernama