Anda di sini

Tiga sahabat dipenjara kerana miliki jam tangan, cermin mata curi

Advertisement

PETALING JAYA: Gara-gara memiliki jam tangan dan cermin mata curi, tiga sahabat dihukum penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap seorang pelatih pusat trampolin, Mohd Fadzil Mohd Faizal Ang, 27, selepas dia mengaku bersalah memiliki seutas jam tangan jenama G-Shock milik G-Factory, Sunway Pyramid, serta cermin mata jenama Oakley kepunyaan kedai Oakley, juga di Sunway Pyramid.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap seorang penghantar makanan segera, Muhammad Shalim Qurratu Hazim Halim, 24, kerana memiliki harta curi yang sama, iaitu jam tangan jenama G-Shock tersebut.

Mereka didakwa memiliki harta curi itu di sebuah rumah di PPR Seri Pantai, Jalan Pantai Dalam, Brickfields di sini, pada jam 1.40 pagi, 27 Mac lalu, mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan Mohd Fadzil dan Muhammad Shalim menjalani hukuman penjara bermula semalam.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada kedua-dua tertuduh.

Mereka yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan mereka berasal dari keluarga susah dan menjaga ibu bapa yang sudah berusia.

Sementara itu, seorang lagi rakan mereka, Muhammad Alif Faizal, 24, dihukum penjara 12 bulan atas pertuduhan memiliki harta curi iaitu seutas jam tangan jenama G-Shock yang lain dari kedai sama. — Bernama

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang bekerja sebagai pemandu lori menjalani hukuman tersebut bermula dari tarikh tangkap pada 27 Mac lalu.

Dia melakukan kesalahan itu berhampiran sebuah jalan di PPR Pantai Ria, Brickfields di sini, pada 2.10 pagi, 27 Mac lalu mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya. — Bernama

Advertisement