Anda di sini

Syarikat Malayssia dan India akan bangunkan projek pelabuhan, bandar raya maritim di Pulau Carey

Advertisement

NEW DELHI: Syarikat Malaysia dan India akan bekerjasama membangunkan projek pelabuhan dan bandar raya maritim bernilai kira-kira AS$32 bilion (AS$1=RM4.42) di Pulau Carey, Klang, Selangor.

 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, syarikat India berminat terhadap Pulau Carey berikutan lokasinya yang strategik.

 “Ia hanya satu kebetulan yang penggambaran filem Kabali dibuat di Pulau Carey, bagaimanapun yang pastinya kumpulan India itu berminat disebabkan lokasinya yang strategik,” katanya pada mesyuarat meja bulat dengan pemimpin industri di sini, semalam.

 Najib memberitahu hadirin yang beliau berpeluang bertemu pelakon terkenal Kabali, Rajinikanth di Chennai ketika lawatannya ke sana pada Jumaat dan swafoto dengannya telah menjadi tular di Malaysia dan India.

 MMC Port Holdings Sdn Bhd dari Malaysia dan Adani Ports & Special Economic Zone Limited dari India dijangka membangunkan Projek Pelabuhan Pulau Carey bernilai AS$9.39 bilion.

 Pembangunan bandar raya maritim bersepadu seiring cadangan Pelaburan Pulau Carey akan menyaksikan usaha sama antara MMC Port Holdings dan Sime Darby Property Bhd dengan Adani.

 Bandar raya bersepadu itu bernilai AS$22.78 bilion bagi tempoh 30 tahun.

 Najib juga memberitahu pemimpin industri terbabit bahawa banyak pembangunan menarik sedang dijalankan di Malaysia, dengan menyebut pelaburan AS$7 bilion oleh Aramco dari Arab Saudi dan Zon Perdagangan Bebas Digital, yang pertama di dunia yang dilancarkan oleh beliau dan Jack Ma, iaitu Pengasas Alibaba bulan lepas.

 Mengenai perdagangan antara kedua-dua negara, Najib berkata, mereka berharap untuk mencatat sasaran AS$15 bilion dalam tempoh tiga tahun, selepas sasaran awal pada 2015 tidak dapat dicapai berikutan kelembapan ekonomi.

 Najib juga berkata, pelbagai program transformasi ekonomi yang dilaksanakan Malaysia sedang membuahkan hasil dengan pewujudan 1.8 juta pekerjaan, pengurangan kemiskinan dan menggandakan pendapatan negara kasar. — Bernama

Advertisement