Anda di sini

Penjaga makam Sufi didakwa

Advertisement

Tuduhan membunuh dan terorisme dikenakan susulan 20 kematian

 Anggota polis unit forensik (kanan) meninjau keadaan selepas kejadian tersebut di luar makam Sufi Mohammad Ali di pinggir Sargodha, kelmarin. — Gambar Reuters
MENJALANKAN SIASATAN: Anggota polis unit forensik (kanan) meninjau keadaan selepas kejadian tersebut di luar makam Sufi Mohammad Ali di pinggir Sargodha, kelmarin. — Gambar Reuters

ISLAMABAD: Penjaga sebuah makam Sufi di Pakistan telah didakwa atas tuduhan membunuh dan terorisme, menurut pihak polis semalam, selepas dipercayai menyeksa dan membunuh 20 pengikut dengan belantan dan pisau.

Dua lagi suspek turut didakwa terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai Ahad lalu di makam Sufi Mohammad Ali di wilayah Punjab, menurut pegawai polis tempatan Nusrat Ali sambil menambah kata, ketiga-tiga suspek dihadapkan ke mahkamah tempatan untuk pendengaran kes semalam.

Kesemua mangsa dipercayai dimabukkan sebelum dibunuh dengan kejam, malah sesetengah mayat tersebut bogel.

Penjaga terbabit, Abdul Waheed, 50, memberitahu polis dia membunuh mangsa kerana percaya mereka akan membunuhnya suatu hari nanti, menurut pegawai penyiasat kes Arshad Abbas.

Beberapa pegawai mendakwa Wahed mempunyai masalah kesihatan mental dan pernah mengasari para pengikut sebelum ini.

Pengikut Sufi percaya wali boleh berhubung terus dengan Tuhan, mereka tiada hirarki atau pertubuhan, sebaliknya membentuk perhimpunan rohaniah menerusi tarian dan muzik di makam wali.

Berjuta-juta umat Islam di Pakistan dipercayai masih mengamalkan fahaman Sufi, namun sejak beberapa dekad lalu pelampau seperti Taliban dan Islamic State (IS) melancarkan serangan ke atas makam Sufi kerana menganggap ia khurafat.

Makam wali mudah disasari kerana lazimnya ratusan pengikut akan menjadi teruja oleh paluan gendang sambil menghisap ganja, tanpa sebarang lanagkah keselamatan.

Di kawasan terpencil dan luar bandar pula, tiada bantuan kesihatan disediakan.

Para pengikut lazimnya penduduk miskin dengan kaum wanita dan kanak-kanak lazimnya hadir untuk menari dan mendengar muzik.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, satu letupan bom tangan membunuh seorang pegawai polis dan mencederakan sepuluh lagi kakitangan keselamatan di Kashmir India kelmarin, menurut polis.

Kejadian berlaku cuma beberapa jam selepas Perdana Menteri Narendra Modi melawat wilayah yang turut menjadi rebutan Pakistan itu.

Pemberontak melontar bom tangan ke arah sekumpulan anggota polis dan separa tentera di bandar utama Srinagar susulan protes mengecam lawatan Modi.

Empat kakitangan CRPF dan tujuh anggota polis cedera dalam letupan bom tangan itu,” kata Bhuvesh Choudhary, jurucakap pasukan separa tentera Pasukan Polis Simpanan Pusat (CRPF).

Salah seorang pegawai polis yang cedera dalam letupan itu kemudian mati, menurut jeneral inspektor Javid Gillani.

Sebahagian besar lembah Kashmir dikenakan perintah berkurung kelmarin susulan seruan oleh pemisah yang memprotes lawatan Modi.

Pada perhimpunan, Modi menggesa belia Kashmir agar memilih pelancongan, bukannya terorisme, sekali gus merasmikan terowong sepanjang 11 kilometer merentasi Himalaya yang akan memudahkan perjalanan di wilayah rebutan itu.

Permainan berdarah ini langsung tidak menguntungkan sesiapa sejak empat puluh tahun lalu,” tegas beliau.

Terowong dua lorong itu yang merupakan yang terpanjang di India, akan mengurangkan jarak perjalanan antara dua bandar utama Jammu dan Srinagar sebanyak 41 kilometer, memintas laluan yang kerap ditutup akibat salji tebal dan tanah runtuh.

Kashmir terbahagi antara pentadbiran India dan Pakistan sejak tamatnya penjajahan British pada 1947, di mana kedua-dua negara menuntut kedaulatan sepenuhnya bagi wilayah Himalaya itu.

Kumpulan pemberontak sudah berpuluh-puluh tahun melawan sekitar setengah juta askar India yang dikerahkan di kawasan itu bagi mendapatkan kemerdekaan atau penyatuan wilayah dengan Pakistan. — AFP

Advertisement