Anda di sini

Memandu di bawah pengaruh alkohol, pesara juruterbang didenda RM2,500

KUALA LUMPUR: Gara-gara memandu di bawah pengaruh alkohol seorang pesara juruterbang sebuah syarikat penerbangan didenda RM2,500 atau penjara 20 hari oleh Mahkamah Trafik di sini, semalam.

Majistret Maizatul Munirah Abdul Rahmad menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Fawzi Abdullah, 66, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut di Jalan Imbi di sini, pada jam 2.15 pagi tiga hari lepas.

Maizatul Munirah turut menasihati Mohd Fawzi supaya tidak mengulangi kesilapan sama kerana ia sangat berbahaya.

Jumlah alkohol awak terlalu tinggi berbanding kes sama pada hari ini...sangat-sangat berbahaya memandu dalam pengaruh alkohol yang tinggi macam ini,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, ketika sekatan jalan raya di Jalan Imbi, polis menahan sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dan hasil semakan, pemandu kenderaan itu didapati berada di bawah pengaruh alkohol.

Ujian penafasan yang dijalankan terhadap tertuduh mendapati kandungan alkohol dalam 100ml darah adalah sebanyak 188 miligram iaitu melebihi 80 miligram yang dihadkan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Trafik Inspektor Hashimah Hashim memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal memandangkan tertuduh beragama Islam dan supaya kesalahan itu tidak berulang.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan denda yang rendah dengan alasan dia menghidap pelbagai penyakit dan tidak mempunyai keluarga.

Ini adalah kesalahan pertama saya, saya menyesal dengan perbuatan saya dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama,” katanya.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh didenda maksimum RM6,000 dan boleh dipenjarakan sehingga 12 bulan serta lesen memandu percubaan boleh dibatalkan. — Bernama