Anda di sini

Lawat India, Dalai Lama terharu bertemu pengawal lama

Advertisement
 Dalai Lama berucap semasa Fsetival Namami Brahmaputra di tebing Sungai Brahmaputra di Guwahati, kelmarin. — Gambar Reuters
TIBA: Dalai Lama berucap semasa Fsetival Namami Brahmaputra di tebing Sungai Brahmaputra di Guwahati, kelmarin. — Gambar Reuters

GUWAHATI: Dalai Lama mengadakan pertemuan semula penuh emosi dengan pengawal sempadan India yang mengiringinya ketika beliau meninggalkan negara asalnya Tibet selepas kebangkitan yang gagal hampir 60 tahun.

Pemimpin kerohanian Tibet berusia 81 tahun itu yang hidup dalam buangan sejak itu, kelihatan menahan sebak ketika menemui pengawal separa tentera bersara itu petang kelmarin semasa permulaan lawatan ke timur laut India yang menimbulkan kemarahan China.

Kedua-dua mereka tidak pernah bertemu sejak 1959 ketika sami Buddha itu meninggalkan kampung halamannya di Himalaya kerana bimbangkan keselamatannya selepas China menghantar tentera ke wilayah bagi menghapuskan kebangkitan pemisah.

Melihat wajah anda, sekarang saya menyedari saya juga sudah terlalu tua,” beliau memberitahu Naren Chandra Das, 79, dalam satu acara di bandar timur laut Guwahati, menurut agensi berita Press Trust of India (PTI).

Das mengimbau bahawa beliau telah diberikan arahan agar tidak bercakap dengan sami muda itu ketika beliau tiba di India selepas perjalanan selama 13 hari melalui Himalaya, menyamar sebagai anggota tentera bagi mengelak dikesan pasukan tentera China.

Tugas kami hanyalah untuk mengawal dan mengiringi beliau sehingga ke satu bahagian perjalanannya,” kata beliau.

Dalai Lama berada di Guwahati dalam perjalanan ke biara terpencil Tawang di India di wilayah timur laut Arunachal Pradesh, di mana beliau memasuki negara ini.

China, yang mendakwa Arunachal sebagai wilayahnya sendiri dan menganggap Dalai Lama menghasut perpisahan Tibet daripada China, mengecam kunjungan yang dirancangkan itu.

Beijing menyatakan bahawa lawatan tersebut akan merosakkan serius hubungan dengan New Delhi.

Dalai Lama, yang menafikan tentang pemisahan atau kemerdekaan Tibet, kelmarin mengimbau sambutan hangat yang diterima ketika beliau tiba dan kerajaan India menawarkan sebuah pangkalan di bandar bukit Dharamsala, di mana beliau dibenar menubuhkan sebuah kerajaan dalam buangan.

Hari-hari sebelum kedatangan saya di India dipenuhi ketegangan dan satu-satunya kebimbangan adalah keselamatan, namun saya mengalami kebebasan ketika menerima sambutan baik penduduk dan pegawai sekali gus memulakan babak baharu dalam kehidupan saya,” PTI memetik beliau sebagai berkata.

Dalai Lama dijadual tiba di Arunachal Pradesh hari ini sebelum mengadakan sesi pengajaran di biara Tawang pada esok dan lusa. — AFP

Advertisement