Anda di sini

Lapan syarikat dari Sarawak akan sertai MIHAS 5-8 April

Advertisement

KUCHING: Sebanyak lapan buah syarikat khususnya daripada sektor makanan dan minuman serta produk kecantikan dari Sarawak akan menyertai pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-14 anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 5 hingga 8 April ini.

 Selain itu, 13 syarikat dari negeri ini juga akan menyertai program padanan perniagaan, Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) sempena MIHAS 2017, yang akan memadankan peserta dengan pembeli dari luar negara.

 Penyertaan syarikat-syarikat Sarawak di MIHAS 2017 merupakan usaha kerjasama yang erat daripada Kementerian Pembangunan Perindustrian & Keusahawanan, Perdagangan & Perlaburan, Sarawak (MIETI) yang amat menyokong usaha MATRADE mengetengahkan usahawan- usahawan tempatan, terutamanya dari Bumi Kenyalang ke peringkat global.

 MIHAS yang sudah diadakan lebih sedekad lalu mempunyai reputasi sebagai pameran perdagangan halal terbesar di dunia dan merupakan platform perniagaan bagi syarikat tempatan dan syarikat antarabangsa dalam industri halal berkumpul dan bertemu dengan satu sama lain.

 MIHAS 2017 bakal menampilkan empat segmen utama iaitu Makanan (pes, sos, bahan makanan, makanan sedia dimakan, minuman), Bukan Makanan (Farmaseutikal & Kosmetik), Perkhidmatan Patuh Shariah (Kewangan Islam, Pelancongan Halal, Logistik Halal) dan eDagang (laman B2C dan B2B).

 Selain daripada komponen pameran, MATRADE juga menjalankan inisiatif pemadanan perniagaan melalui INSP yang akan memadankan syarikat tempatan dengan pembeli luar negara.

 Selain itu, terdapat juga siri seminar perdagangan percuma yang akan diadakan pada 6 April bermula jam 10 pagi hingga 5.30 petang untuk para pelawat.

 MIHAS 2017 akan disertai lebih 550 pempamer dari 35 buah negara dan antara negara yang mengambil bahagian ialah negara-negara ASEAN, Turki, Brazil, Afrika Selatan, Palestin, Iran, Emiriah Arab Bersatu, China, Jepun, Taiwan dan Korea Selatan.

 Tahun lalu, 543 syarikat dari 29 negara telah menyertai pameran itu yang dikunjungi lebih 22,000 pengunjung manakala pada tahun ini, ia dijangka akan dihadiri 25,000 pengunjung.

 Selain itu, MIHAS 2017 juga memperkenalkan Pameran Gaya Hidup Islamik Antarabangsa Malaysia (MILE), yang dianjurkan selari dengan MIHAS.

 Acara ini bertujuan untuk mempromosikan segmen Gaya Hidup Islam dan akan menampilkan produk fesyen, pendidikan dan kesusasteraan Islam serta seni Islam.

 Seawal pengenalan MIHAS, ia hanya menjana jualan sebanyak RM683.2 juta tetapi pada tahun lepas, acara ini telah berjaya mencatatkan jualan sebanyak RM1.14 bilion.

 Bagi yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai MIHAS 2017 boleh melayari www.mihas.com.my atau menjadi ‘follower’ MIHAS di Facebook, Twitter, Instagram dan LinkedIn.

Advertisement