LA COLMENA: Penunjuk perasaan berkumpul kelmarin ketika pengebumian seorang aktivis politik pembangkang yang mati ditembak anggota polis Paraguay selepas kejadian pecah masuk Kongres oleh penunjuk perasaan antikerajaan.
Rodrigo Quintana, 25, ketua cawangan belia Parti Liberal, menjadi simbol keberanian dalam kekecewaan umum terhadap usaha Presiden konservatif Horacio Cartes untuk bertanding semula dalam pilihan raya.
Quintana mati akibat ditembak dengan peluru getah ketika pihak polis menyerbu pejabat parti itu di Asuncion selepas rusuhan jalanan meletus lewat Jumaat.
Semasa upacara pengebumian kelmarin di bandar tenggara ibu negara itu, salah seorang anak perempuan Quintana membawa gambar ayahnya yang baharu sahaja menamatkan pengajian sebagai ahli agronomi.
Para penyokong melambaikan sehelai kain rentang berbunyi ‘Quintana maut demi kebebasan dan demokrasi’.
“Cukuplah dengan keganasan,” paderi Osvaldo Caniza menyatakan dalam ucapannya.
Para penunjuk perasaan yang berang memecah masuk ke dalam Kongres Jumaat lepas, menggeledah pejabat anggota perundangan dan mencetuskan kebakaran, selepas para senator meluluskan usul membenarkan presiden bertanding bagi pemilihan semula.
Para pemimpin pembangkang mengecam undi rahsia itu sebagai rampasan kuasa peringkat Kongres, menyatakan ia akan membuka jalan bagi kepulangan pemerintahan diktator di negara Amerika Selatan yang mempunyai 6.8 juta penduduk itu.
Cartes cuba meminda perlembagaan bagi membolehkannya bertanding sekali lagi bagi jawatan itu pada 2018 selepas penggal semasanya berakhir.
Beliau mempersalahkan keganasan didalangi kumpulan rakyat Paraguay yang tertumpu pada politik serta media yang mahu memusnahkan demokrasi dan kestabilan politik serta ekonomi.
Paraguay mengharamkan bekas presiden daripada bertanding semula sejak 1992 bagi mengelak berulangnya pemerintahan diktator seperti zaman Jeneral Alfredo Stroessner, yang memerintah mulai 1954 hingga 1989.
Menghapuskan penghara-man juga akan membolehkan bekas presiden sayap kiri Fernando Lugo bertanding semula.
Beliau memegang kuasa sejak 2008 hingga 2012, sebelum dipecat selepas perbicaraan pendakwaan.
Langkah tersebut dijadual dipertimbang Sabtu lepas di Dewan Menteri-Menteri di mana presiden mempunyai kuasa majoriti.
Namun selepas keganasan itu, Presiden Dewan Rakyat Hugo Velazquez mengumum-kan pengundian ditangguhkan dan mengakui terkejut dengan keganasan tersebut.
Jika langkah terbaharu diluluskan kedua-dua dewan, referendum dijangka diadakan dalam tempoh tiga bulan akan datang. — AFP