Anda di sini

Daesh: Peniaga dipenjara berjumlah 23 tahun

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga dihukum penjara berjumlah 23 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam terhadap tiga pertuduhan berkaitan kumpulan Daesh termasuk memberi sokongan dan memiliki baju serta bendera yang mempunyai lambang kumpulan militan itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohd Shaifful Shahril Ramli, 29, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun manakala masing-masing 13 tahun dan dua tahun penjara bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

Bagaimanapun, tertuduh akan menjalani hukuman penjara 13 tahun selepas mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak mulai tarikh tangkapan pada 19 Julai 2016.

Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata tertuduh sepatutnya sedar bahawa individu yang memasukkannya di dalam kumpulan telegram iaitu Muhammad Wanndy Mohamed Jedi merupakan seorang pengganas terkenal.

Alasan bahawa tertuduh tidak pernah berjumpa secara fizikal tidak boleh diterima oleh mahkamah dan dalam kecanggihan sekarang ini harus ada penilaian yang mantap mengenai sesuatu maklumat. Perhubungan dalam alam maya tidak perlukan pertemuan secara fizikal,” katanya.

Mohd Shaifful Shahril mengaku memberi sokongan kepada kumpulan Daesh dalam satu aplikasi media sosial Telegram ‘amanah(phb) vs pas’ atas nama dan Anonymous/Anonimous dalam telefon bimbitnya antara 18 Jun hingga 29 Jun 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130 J (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara  maksimum 30 tahun atau denda.

Tertuduh juga didakwa telah memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas yang melibatkan penggunaan bahan letupan dengan niat untuk melanjutkan suatu perjuangan ideologi, serta bertujuan untuk mengugut orang awam di  Malaysia melalui aplikasi Telegram di dalam telefon bimbitnya antara 26 Jun dan 29 Jun 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130 J (1)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sama.

Mohd Shaifful Shahril juga didakwa memiliki sehelai baju sejuk yang mempunyai lambang Islamic State (IS) dan sehelai  bendera yang mempunyai lambang IS, kira-kira pukul 9.45 pagi, 22 Julai tahun lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130 JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucuthak mana-mana item tersebut.

Mohd Shaifful Shahril, yang diwakili peguam K.A. Ramu, melakukan kesemua kesalahan itu di No. 3, Lorong Indah 1, Kampung Sri Indah B, Sungai Buloh, Selangor.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman ringan kerana telah insaf dan kesal atas perbuatannya yang terlalu terpengaruh dengan kumpulan itu.

Saya tidak sanggup berpisah dengan keluarga, saya mahu hukuman saya diringankan dan saya harapkan peluang terakhir untuk saya berubah,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syazwani Mohamad Sobry memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran bagi mengekang penularan kes-kes yang berkaitan dengan kumpulan pengganas. — Bernama

Advertisement