Penjaga antara tiga ditahan kerana memabuk, membelasah dan tikam 24 orang
ISLAMABAD: Penjaga sebuah makam Sufi dan dua rakan subahat telah ditahan kerana memabukkan dan membunuh 20 penganut dengan belantan dan pisau awal semalam, menurut polis.
Empat wanita antara yang terbunuh di makam Sufi Mohammad Ali di wilayah Punjab, manakala empat orang lagi cedera, menurut polis yang telah menahan tiga suspek termasuk penjaga terbabit.
“Penjaga makam Abdul Waheed yang berusia 50 tahun telah mengakui bahawa dia membunuh mereka kerana khuatir mereka datang untuk membunuhnya,” kata ketua polis wilayah Zulfi qar Hameed.
“Suspek kelihatan ketakutan dan meracau, atau ia mungkin ada kaitan persaingan untuk mengawal makam tersebut,” katanya sambil menambah, siasatan sedang diteruskan.
Ketua balai polis tempatan Shamshir Joya berkata, mangsa yang mana pakaian mereka koyak-rabak dan berlumuran darah, didapati telah diberikan bahan yang memabukkan.
“Kami mengesyaki mangsa telah diberi bahan yang memabukkan sebelum mereka dibunuh, tetapi kami akan menunggu laporan forensik untuk mengesahkan perkara ini,” tambah beliau.
Joya berkata, makam tersebut dibina di kawasan berkenaan kira-kira dua setengah tahun lalu.
Apabila bekas penjaganya meninggal dunia, Waheed yang pernah bekerja sebagai pegawai di suruhanjaya pilihan raya kebangsaan, mengambil alih kawalan ke atas makam berkenaan.
Ketua Menteri Punjab Shahbaz Sharif telah menyeru laporan polis mengenai siasatan ke atas kes tersebut dalam tempoh 24 jam, menurut seorang pegawai kanan kerajaan.
Melawat makam dan bersedekah kepada orang miskin serta menyumbang wang tunai kepada penjaga makam masih diamalkan secara berleluasadi Pakistan.
Ramai percaya amalan sedemikian akan membantu mengabulkan doa mereka.
Sejak ratusan tahun lalu Pakistan merupakan bumi para Sufi, cabang mistik Islam di mana pendakwah membantu menyebarkan agama tersebut di seluruh subbenua India pada kurun ke-13.
Pengikut Sufi mempercayai wali yang didakwa boleh mewakili mereka secara langsung dengan Tuhan.
Mereka tiada hirarki atau pertubuhan, sebaliknya memupuk gabungan rohaniah menerusi muzik dan tarian di makam wali.
Berjuta-juta Muslim di Pakistan dipercayai masih mengikuti fahaman Sufi walaupun sejak beberapa dekad lalu versi lebih konservatif kepercayaan itu mengambil alih.
Kelompok pelampau seperti Taliban atau Islamic State (IS) telah melancarkan serangan ke atas makam Sufi kerana menganggap ia khurafat.
Pada Februari lalu, 88 maut dan ratusan cedera di wilayah selatan Sindh apabila seorang pengebom nekad meletupkan dirinya dalam kalangan pengikut di sebuah makam Sufi . — AFP