Anda di sini

Malaysia jangka pelaksanaan GST di India buka banyak pelaburan

Advertisement

GST akan dilaksana di India 1 Julai, dianggap pembaharuan ekonomi India

NEW DELHI: Malaysia, yang tidak dapat mencapai sasaran perdagangan tahunannya sebanyak AS$15 bilion dengan India, berharap langkah negara itu untuk melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan membuka laluan bagi lebih banyak perdagangan dan pelaburan antara keduadua negara.

 Menter i Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, GST itu, yang dianggap sebagai pembaharuan ekonomi terbesar di India sejak kemerdekaannya, sangat penting kerana ia menerima sokongan daripada kerajaan dan juga pihak pembangkang.

 “Ini akan memberi kesan besar kepada ekonomi India sebaik sahaja ia dilaksanakan pada 1 Julai.

 Yang paling terbaik adalah, malahan parti pembangkang menyokong langkah untuk melaksanakan GST kerana mereka tahu ia akan memberi manfaat kepada negara bagi tempoh jangka panjang,” katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.

 Mustapa berkata kunjungan enam hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke India adalah tepat pada masa dan akan membantu Malaysia mempelbagaikan perdagangannya dan bukan hanya bergantung kepada China, seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

 Memandangkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar tahunan India sebanyak 7.5 peratus dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang dan pembaharuan dalam banyak sektor ekonomi, Mustapa berkata ia akan membukakan lebih banyak peluang pelaburan dan perdagangan di negara yang memiliki 1.3 bilion penduduk itu.

 “Sasaran kita adalah untuk meraih perdagangan bernilai AS$15 bilion menjelang 2015, namun kita hanya mencapai AS$12 bilion dan jumlah itu terus menurun kepada AS$10.8 bilion pada 2016 berikutan kelembapan ekonomi global dan harga petroleum dan minyak sawit yang rendah,” kata Mustapa selepas bertemu dengan syarikat Malaysia dan perniagaan India di bandar kewangan Mumbai pada Khamis.

 Syarikat Malaysia melabur sebanyak AS$4.5 bilion di India tahun lepas dengan pelaburan utama datang daripada syarikat berkaitan Khazanah Nasional seperti SP Armada, Scomi dan Sapura Energy kebanyakannya dalam prasarana, pembinaan, minyak dan gas, penjagaan kesihatan dan pembangunan perbandaran.

 Sementara itu, syarikat India melabur sebanyak AS$1.5 bilion di Malaysia termasuk loji pemprosesan minyak dan gas petrokimia Reliance Industries di Kuantan dan kilang poliester di Nilai.

 Mustapa berharap kunjungan Najib dapat menarik lebih banyak pelaburan dari India ke dalam sektor farmaseutikal, teknologi maklumat, pembuatan dan pendidikan Malaysia.

 Pada Isnin, Najib, yang diiringi 10 menteri Kabinet akan mengadakan sesi dialog dengan ketua-ketua industri daripada sektor perniagaan utama di India.

 — Bernama

Advertisement