Anda di sini

‘Kudeta’ di Venezuela cetus kebimbangan antarabangsa

Advertisement
 Ahli majlis perundangan pembangkang Carlos Paparoni (tengah) dan Marco Bozo (kanan) bergelut dengan anggota Pengawal Negara semasa tunjuk perasaan di hadapan Mahkamah Agung di Caracas, Venezuela kelmarin. — Gambar AFP
KECOH: Ahli majlis perundangan pembangkang Carlos Paparoni (tengah) dan Marco Bozo (kanan) bergelut dengan anggota Pengawal Negara semasa tunjuk perasaan di hadapan Mahkamah Agung di Caracas, Venezuela kelmarin. — Gambar AFP

Pemimpin pembangkang seru protes jalanan lebih besar ‘tolak pemerintahan diktator dan selamatkan demokrasi’

CARACAS: Beberapa kuasa antarabangsa menyuarakan amaran kelmarin terhadap tindakan Mahkamah Agung Venezuela untuk merampas kuasa daripada badan perundangan yang diketuai oleh pembangkang, dalam apa yang dianggap sepenuhnya sebagai bersamaan dengan satu rampasan kuasa.

 Tindakan mahkamah itu memperketatkan genggaman presiden sosialis Nicolas Maduro terhadap kuasa selepas lebih setahun beliau mengalami kebuntuan dalam perbalahan politik dengan pembangkang haluan kanan.

 Pengkritik berkata ia adalah peralihan kepada pentadbiran kuku besi bagi gergasi pengeluaran minyak Amerika Selatan, di mana krisis ekonomi telah menyebabkan kekurangan makanan, rusuhan dan peningkatan jenayah kejam.

 Krisis itu menimbulkan kebimbangan mengenai kestabilan di Venezuela, yang telah melalui tiga cubaan rampasan kuasa ketenteraan sejak 1992.

 Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menyelar tindakan mahkamah sebagai “satu halangan serius bagi demokrasi.

” Kuasa-kuasa wilayah Brazil, Mexico, Argentina, Peru, Chile dan lain-lain turut memberi amaran bahawa ia satu ancaman kepada demokrasi di Venezuela.

 Guatemala turut mengecam tindakan mahkamah.

 Namun Bolivia yang diketuai oleh puak haluan kiri telah mempertahankan Maduro.

 Kementerian Luar Brazil menyatakan ia “satu perpisahan jelas dengan peraturan perlembagaan.

” Namun kenyataan yang paling tegas daripada setiausaha agung Pertubuhan Negeri- Negeri Amerika (OAS), Luis Almagro, yang menyokong dakwaan pihak lawan Maduro bahawa ia adalah kudeta dalaman.

 Maduro masih belum memberi komen secara umum mengenai bantahan tersebut.

 Anggota perundangan yang membantah telah bertempur dengan polis rusuhan di luar mahkamah.

 Beberapa kumpulan pembangkang menyeru bagi bantahan jalanan yang lebih besar hari ini.

 Dalam satu kenyataan Twitter, pemimpin pembangkang yang dipenjarakan Leopoldo Lopez menyeru kepada rakyat agar berkumpul di jalan raya dalam langkah untuk “menolak pemerintahan diktator dan menyelamatkan demokrasi”.

 Tindakan beberapa hakim memecat penentang Maduro dalam badan perundangan Dewan Negara telah merampas sedikit kuasa yang mereka miliki terhadap tunggak utama kerajaan.

 Mahkamah Tinggi (TSJ) telah secara konsisten menyokong presiden haluan kiri itu dalam perbalahan kuasanya dengan pihak perundangan.

 Pada Selasa lepas ia turut menarik balik imuniti Parlimen daripada beberapa anggota perundangan di dalam dewan tersebut.

 “Keputusan yang tidak mengikut perlembagaan oleh TSJ dengan menarik balik imuniti Parlimen daripada anggota Dewan Negara dan mengambil alih fungsi perundangan merupakan tindakan terbaharu yang diambil oleh rejim kuku besi bagi memusnahkan arahan perlembagaan di Venezuela dan menghapuskan semua bentuk demokrasi,” menurut kenyataan Almagro.

 Beliau berkata beliau “mengecam tindakan kudeta yang didalangi oleh rejim Venezuela terhadap Dewan Negara, cabang terakhir kerajaan yang disahkan undangundang menurut keinginan rakyat Venezuela,” menurut kenyataan OAS.

 Mahkamah mendasarkan keputusan terbaharunya kepada keputusan sebelum ini bahawa majoriti pembangkang telah menghina mahkamah.

 “Selagi Dewan Negara menghina mahkamah dan ketidaksahihan berterusan, kuasa Parlimen haruslah dilaksanakan secara langsung dengan dewan perlembagaan (Mahkamah Agung) atau oleh badan yang direkanya untuk mengawal pelaksanaan undang-undang,” katanya pada lewat malam Rabu lepas.

 Speaker Dewan Negara, Julio Borges, menggesa pihak tentera, yang setakat ini secara terbuka menyokong Maduro, agar mengambil pendirian.

 “Pasukan tentera Venezuela tidak boleh terus berdiam diri ketika perlembagaan dilanggar,” tegas beliau, merayu kepada pihak tentera yang turut terjejas oleh apa yang menurutnya adalah “huru-hara” dalam krisis ekonomi.

 Dengan sokongan pihak tentera dan kawalan ke atas kebanyakan institusi negara, Maduro telah menentang seruan pembangkang untuk mengadakan pilihan raya awal.  — AFP

Advertisement