Anda di sini

USAHABUMI Langkawi sasar 20,000 syarikat daftar di portal malaysiatrademart.com

Advertisement

LANGKAWI: Pertubuhan Usahawan Bumiputera Langkawi (USAHABUMI) menjangkakan lebih 20,000 syarikat di seluruh Malaysia akan mendaftar di bawah portal e-pasaran dalam taliannya, www.malaysiatrademart.com, yang dilancarkan di sini, baru-baru ini.

Setiausaha USAHABUMI, Ahmad Phisol Ishak berkata pertubuhan itu akan menggunakan saluran ini untuk membawakan lebih banyak lagi syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) negara bersaing di peringkat global.

Bersandarkan kepada jumlah usahawan kecil dan sederhana yang berdaftar dengan SME Corp, kita yakin dapat menjangkau jumlah itu dalam tempoh dua bulan lagi,” katanya semasa ditemui selepas pelancaran portal tersebut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah, Nor Saidi Nanyan, di sini.

Menurutnya, USAHABUMI akan mengadakan beberapa jerayawara di seluruh negara untuk menggalakkan IKS mendaftar di portal itu bagi mengambil peluang mempromosikan produk mereka ke pasaran global.

Selepas pelancaran ini, kami akan mempromosikan portal ini ke tempat lain di seluruh di Malaysia supaya usahawan IKS tahu tentang platform ini untuk meluaskan lagi pasaran mereka,” katanya.

Ahmad Phisol berkata portal ini sesuai untuk usahawan IKS yang tidak mampu untuk membayar jumlah yang besar untuk memperluaskan lagi pasaran mereka ke peringkat dunia.

Apabila kita sudah ada ‘link’ (hubungan perniagaan) dengan negara-negara lain, kita dapat mengetengahkan (lebih ramai lagi) peniaga-peniaga (IKS) kita di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Nor Saidi berkata inisiatif USAHABUMI menjalankan promosi peringkat global ini mampu menyemarakkan lagi semangat persaingan dalam kalangan usahawan tempatan Langkawi.

Usaha ini memberi ruang kepada usahawan tempatan untuk membantu sesama sendiri bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya. — Bernama

Advertisement