Anda di sini

Park tampil di mahkamah

Advertisement

Untuk perbicaraan sama ada beliau harus ditangkap berhubung skandal rasuah, penyalahgunaan kuasa

 Park (depan) tiba untuk perbicaraan bagi menentukan sama ada beliau harus ditangkap atau tidak berhubung skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa di Mahkamah Daerah Tengah Seoul di Korea Selatan semalam. — Gambar Reuters
TAMPIL: Park (depan) tiba untuk perbicaraan bagi menentukan sama ada beliau harus ditangkap atau tidak berhubung skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa di Mahkamah Daerah Tengah Seoul di Korea Selatan semalam. — Gambar Reuters

SEOUL: Presiden yang digulingkan di Korea Selatan, Park Geun-Hye, tiba di mahkamah semalam untuk perbicaraan bagi menentukan sama ada beliau harus ditangkap atau tidak berhubung skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menjatuhkannya.

Park, yang kelihatan pucat dan serius, tidak mempeduli-kan lampu imbasan kamera dan tidak bercakap ketika beliau tiba di Mahkamah Daerah Tengah Seoul.

Penahanannya secara rasmi dan pemindahannya ke lokap adalah satu langkah pen-ting dalam keaiban presiden wanita pertama di Korea Selatan, yang memperolehi bahagian undi terbesar bagi mana-mana calon dalam era demokrasi ketika beliau dipilih pada 2012.

Pemecatan Park daripada jawatannya disahkan oleh mahkamah tertinggi di negara itu pada awal bulan ini, sekali gus menamatkan kekebalan eksekutifnya, dan pendakwaannya merupakan satu tuntutan penting jutaan rakyat yang menunjuk pe-rasaan di jalanan untuk menentangnya.

Bekas presiden itu dituduh melakukan beberapa ke-salahan termasuk menerima sogokan, membocorkan maklumat kerajaan, dan me-nyalahgunakan kuasa dalam skandal itu. Park menafikan semua tuduhan.

Choi Soon-Sil, penasihat sulit Park di tengah-tengah skandal tersebut, sudah menghadapi perbicaraan kerana memaksa syarikat tempatan yang terkemuka termasuk syarikat teknologi gergasi, Samsung, untuk “menderma” hampir AS$70 juta (RM315 juta) kepada yayasan bukan mencari keuntungan yang didakwa digunakannya untuk keuntungan sendiri.

Pendakwa raya mengemukakan kira-kira 120,000 halaman dokumen kepada Mahkamah Daerah Seoul yang ada kaitan dengan tuduhan terhadap Park, dan berkata ia adalah “bertentangan dengan prinsip keadilan” jika beliau tidak ditangkap.

Wanita berusia 65 tahun itu dipandu dari rumahnya di selatan Seoul melintasi ratusan penyokong yang menjerit sambil mengibarkan bendera dan berbaris di tepi lebuh yang sempit.

Ada yang cuba menembusi perintang polis dalam usaha untuk menyekat konvoi empat keretanya, dan perjalanannya disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Perbicaraan semalam memakan masa beberapa jam, dan Park duduk di bahagian tengah di hadapan Hakim Kang Bu-young, 43, mana-kala peguam bela dan pendakwa raya duduk di kedua-dua belah.

Selepas itu, Park dibawa ke sebuah pusat penahanan sementara menunggu keputusan Kang, yang tidak dijangkakan sehingga larut malam – walaupun beliau perlu membuatnya dalam masa 24 jam.

Naib Pengerusi Samsung Electronics, Lee Jae-Yong, yang ditangkap bulan lepas berhubung skandal itu, ber-ada di mahkamah selama lebih tujuh jam untuk per-bicaraannya, dan penahanannya diluluskan awal keesokan hari.

Jika waran tangkap Park diluluskan, beliau akan menjadi bekas pemimpin yang ketiga ditangkap kerana rasuah dalam ekonomi keempat terbesar di Asia, di mana politik dan perniagaan besar sudah lama berkait rapat.

Park didakwa oleh Parlimen pada Disember lalu, apabila skandal itu bergabung dengan kekecewaan sosial dan ekonomi yang semakin buruk untuk mencetuskan demonstrasi cahaya lilin besar-besaran. Mahkamah Perlembagaan kemudian mengesahkan keputusan itu.

Pada minggu lepas beliau menjalani sesi soal siasat maraton selama 21 jam di pejabat pendakwa raya, selepas menolak permintaan untuk disoal siasat ketika memegang kuasa.

Ketika itu, pendakwa raya memanggilnya “Puan Pre-siden” tetapi Kang memanggilnya “suspek”.

Beliau “terkelu lidah” ketika pihak berkuasa memohon untuk penangkapannya, akhbar harian Chosun Ilbo memetik seorang penggubal undang-undang pro Park sebagai berkata.

Seorang lagi berkata beliau “tidak dapat tidur malam dan tidak makan” sejak beliau keluar dari istana presiden.

Park didakwa memberi bantuan kerajaan kepada ahli perniagaan terkemuka yang memperkayakan Choi, termasuk Lee dari Samsung.

Beliau juga dituduh membenarkan rakannya, seorang graduan sekolah tinggi tanpa pelepasan keselamatan atau jawatan, mengendalikan pelbagai jenis hal ehwal kerajaan termasuk mencalonkan pegawai tertinggi.

Park, anak perempuan mendiang diktator, Park Chung-Hee, juga dikatakan telah mengarahkan pembantu untuk membocorkan fail sulit kerajaan kepada Choi, dan mengambil tindakan ke atas ribuan artis yang menyuarakan kritikan terhadapnya atau pemerintahan kuku besi bapanya dari 1961 hingga 1979.

Park berulang kali memohon maaf di atas kemarahan yang dicetuskan oleh skandal itu tetapi tidak mengakui sebarang salah laku, sebaliknya menyalahkan Choi kerana menyalahgunakan persaha-batan mereka.

Pilihan raya untuk memilih penggantinya akan diadakan pada 9 Mei. Moon Jae-In, pencabarnya pada 2012 dan bekas pemimpin parti pembangkang utama yang liberal, Parti Demokratik, menda-hului tinjauan pendapat dengan margin besar. — AFP

Advertisement