Anda di sini

Kes Bill Kayong: Mahkamah perintah dua saksi awam digugur

Advertisement

MIRI: Mahkamah Tinggi semalam memerintahkan agar dua saksi awam yang dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes empat lelaki yang dituduh membunuh Bill Kayong supaya digugurkan daripada senarai saksi pendakwaan.

Dua saksi terbabit ialah Paul Boniface Apan, 29, yang merupakan saksi pendakwaan ke-26 dan Sim Chien Hui, saksi pendakwaan ke-27.

Perintah itu dibuat Hakim Ravinthran N. Paramaguru setelah membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh kedua-dua Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Hayda Farizal Abu Hassan dan Mohd Fuad Abdul Aziz.

Dalam permohonan itu, Hayda dan Fuaz masing-masing memohon kepada mahkamah agar Paul dan Sim dipecat atau digugurkan dari senarai saksi pendakwaan setelah mendapati kenyataan yang diberikan mereka semasa dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes tersebut semalam amat bercanggah dengan keterangan terdahulu yang diberikan kepada polis berhubung siasatan kes ini.

Berikutan itu, prosiding kes terpaksa ditangguhkan beberapa kali untuk memastikan sama ada keterangan kedua-dua saksi terbabit benar-benar bercanggah dengan keterangan yang mereka berikan kepada pihak polis sebelum ini.

Seramai empat saksi pendakwaan termasuk saksi ke-25, Lau Lee Shen dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes yang masuk hari ke-10 semalam.

Seorang lagi saksi ialah ASP Lee Chee Keat, 36, yang merupakan pegawai penyiasat dalam kes ini.

Manakala keempat-empat tertuduh kelihatan tenang duduk di dalam kandang tertuduh.

Dalam kes itu, Mohamad Fitri Pauzi, 30, dari Jalan Dawai 1 Pujut 4D di sini telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Bill Kayong.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Manakala tiga yang lain iaitu Lie Chang Loon, 38, dari Taman Pin Fook, Chin Wui Chung, 51, dari Lorong 5 Krokop dan Lee Chee Kiang (Datuk Stephen Lee), 45, dari Jalan Woodhouse, Tanjong Lobang di sini masing-masing didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang turut memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, ketiga-tiga tertuduh telah bersubahat dengan seorang lagi yang masih bebas mengupah Mohamad Fitri Pauzi untuk membunuh Bill Kayong.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan di tempat yang sama.

Sementara Lau ketika diperiksa balas lanjut oleh Ranbir semalam mengekalkan kenyataannya bahawa dia memang ada menemani Apek (Mohamad Fitri) pergi ke kawasan berhampiran Bakam untuk melakukan ujian tembak ke atas selaras senapang patah yang diserahkan Apek kepadanya.

Bagaimanapun, saksi tidak dapat mengingati bilakah tarikh dan bulan ujian tembak itu dilakukan.

Dalam pada itu, ASP Lee ketika dipanggil memberi keterangan semalam hanya menyerahkan kenyataan saksi yang telah dibuatnya untuk perbicaraan tersebut.

Namun beberapa ayat seperti ‘dipandu arah oleh Fitri’ dan ‘menunjukkan laluan perjalanan’ yang digunakan beliau dalam kenyataan saksinya itu telah dibantah oleh Ranbir kerana ia seolah-olah pengakuan yang dibuat oleh tertuduh pertama, Mohamad Fitri.

Perbicaraan kes akan disambung semula hari ini dengan ASP Lee masih dipanggil memberi keterangan.

Dalam perbicaraan itu, keempat-empat tertuduh masing-masing diwakili peguam bela Ranbir Singh, Arthur Lee, David Kuok dan Orlando Chua.

Hadir sama Majen Panyog selaku peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa.

Advertisement