Anda di sini

Cawangan Mydin ke-25 di CityOne dibuka rasmi

Advertisement

Bantu masyarakat dapatkan barangan keperluan dengan akses lebih mudah pada harga berpatutan

 Murad (tengah) bersedia menggunting reben sekali gus menyempurnakan simbolik perasmian Mydin CityOne, di Kuching semalam. Turut kelihatan Ameer Ali (tiga kanan) dan Stephen (dua kanan).
SIMBOLIK: Murad (tengah) bersedia menggunting reben sekali gus menyempurnakan simbolik perasmian Mydin CityOne, di Kuching semalam. Turut kelihatan Ameer Ali (tiga kanan) dan Stephen (dua kanan).

KUCHING: Rangkaian syarikat peruncit dan pemborong, Mydin Mohamed Holdings Bhd atau lebih sinonim dikenali sebagai Mydin, secara rasmi melancarkan pembukaan rasmi cawangan keduanya di negeri ini di Pusat Beli-Belah CityOne.

 Menurut Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Ameer Ali Mydin, memilih untuk membuka Mydin CityOne di lokasi pusat beli-belah bagi cawangannya yang ke- 25 di seluruh Malaysia itu mengambil kira keadaan sosioekonomi dan demografi masyarakat setempat.

 “Bersesuaian dengan konsep menawarkan harga borong dan penjimatan sepanjang masa kepada pelanggan, kewujudan Mydin CityOne pasti dapat membantu warga setempat mendapatkan barangan keperluan dengan akses yang lebih mudah pada harga berpatutan.

 “Secara tidak langsung ia juga dapat menjana ekonomi setempat sekali gus mempromosikan kawasan CityOne sebagai salah satu pusat untuk mendapatkan barangan secara borong,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan cawangan baharu Mydin, di Pusat Beli-Belah CityOne, di sini semalam.

 Selepas perasmian cawangan Mydin CityOne, beliau turut mendedahkan terdapat sebuah lagi cawangan sama akan dibuka bertempat di Vista Tunku (bertentangan Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abang Haji Openg) sekitar penghujung tahun ini.

 Dengan adanya pembukaan ketiga-tiga cawangan itu, Ameer memberitahu, ia membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan di negeri ini.

 “Secara umumnya pembukaan tiga cawangan Mydin di negeri ini (Samariang, CityOne dan Vista Tunku) menawarkan peluang pekerjaan merangkumi jawatan di bahagian pasar raya dan Mall.

 “Keadaan ini juga pastinya dapat mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini khasnya, sekali gus menjadi titik tolak kepada kakitangan sedia ada untuk meningkatkan pengetahuan dan pengalaman kerja yang berkaitan dengan bidang peruncitan,” jelasnya.

 Sementara itu, ketika bercakap pada sidang media selepas majlis perasmian itu, Ameer turut mendedahkan, nilai pelaburan untuk pembinaan Mydin CityOne adalah bernilai RM25 juta dengan keluasan keseluruhan bangunan iaitu 92,042 kaki persegi.

 Pelbagai kemudahan dan prasarana lain turut disediakan di Mydin CityOne antaranya ialah surau, perkhidmatan Mesin Wang Automatik (ATM), 732 lot parkir kenderaan termasuk untuk orang kurang upaya (OKU), bilik penyusuan bayi, medan selera serta kemudahan beli-belah kondusif untuk keselesaan pengunjung.

 Selain itu, beliau juga memberi keyakinan konsep perniagaan Mydin CityOne adalah berasaskan pematuhan syariah di mana semua barangan yang dijual adalah halal sama seperti mana-mana cawangannya yang lain sebelum ini.

 “Kita juga akan memastikan tidak akan ada barangan makanan yang tidak halal dijual dan peniaga semua juga mestilah mematuhi syariah.

 Ini juga merupakan salah satu cara yang terbaik sebagai daya tarikan yang kuat untuk menarik kehadiran pelanggan ke premis kita,” jelasnya.

 Beliau juga mendedahkan, selain bahagian Selatan negeri ini, pihaknya juga berhasrat untuk melebarkan sayap untuk membuka beberapa cawangan di bahagian lain di Sarawak termasuklah di Sibu, Miri dan Bintulu.

 “Bagaimanapun, kita masih perlu membuat kajian terperinci terutama melibatkan kesesuaian tempat serta kesesuaian masa untuk membuka cawangan-cawangan Mydin di kawasan Utara Sarawak (Sibu, Miri dan Bintulu), khasnya,” jelasnya.

 Sementara itu, Pengarah Urusan Kenbest Sdn Bhd Stephen Long memberitahu, sepanjang pusat beli-belah itu beroperasi selama lebih empat tahun, kehadiran Mydin di situ melengkapkan operasi Pusat Beli-Belah CityOne yang masih belum memiliki pasar raya.

 Justeru, beliau mewakili pusat membeli belah itu amat mengalu-alukan kehadiran Mydin di situ khususnya untuk memenuhi permintaan pelanggan setempat.

 Untuk sebarang perkembangan, aktiviti dan promosi Mydin, sila layari laman sesawang di pautan www.mydin.com.my atau Facebook di www.facebook.com/mydinmalaysia atau Twitter di www.twitter.com/mydinmalaysia atau Instagram di www.instagram.com/mydinmalaysia.

 Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif Mydin Datuk Murad Ali Mydin, Konsultan dari Keat Hiew Architect Ar. Hiew Hong Keat dan Pengurus Cawangan Mydin CityOne Kamaruddin Ngah Ibrahim.

  • oleh
  • Advertisement