Anda di sini

Tulang dalam Sewol rupanya haiwan

Advertisement

Pengumuman semberono kerajaan Korea Selatan dikecam teruk keluarga mangsa

 Orang ramai dan ahli keluarga mangsa tragedi feri menyaksikan operasi menyelamat bangkai kapal luar pantai pulau selatan Jindo, kelmarin. — Gambar AFP
BERHARAP: Orang ramai dan ahli keluarga mangsa tragedi feri menyaksikan operasi menyelamat bangkai kapal luar pantai pulau selatan Jindo, kelmarin. — Gambar AFP

SEOUL: Pihak berkuasa Korea Selatan berdepan dengan kritikan yang hebat semalam kerana mengumumkan mayat manusia telah dijumpai dari feri Sewol yang karam, hanya untuk memperbetulkan diri selepas beberapa jam untuk menyatakan ia hanyalah tulang haiwan.

Akhbar berkata, ahli keluarga mangsa yang hilang trauma dan menuduh kementerian maritim bersikap tidak peduli.

Sembilan daripada 304 orang yang terkorban hampir tiga tahun lalu dalam salah satu bencana maritim terburuk di Korea Selatan tidak pernah dijumpai.

Menyelamatkan bangkai kapal dalam keadaan sempurna, akhirnya dicapai dalam operasi yang rumit pada minggu lepas, merupakan permintaan penting keluarga mangsa, yang menyatakan mereka tidak dapat berkabung dengan sempurna.

Kementerian maritim menaikkan harapan mereka kelmarin apabila ia menyatakan mayat manusia telah dijumpai pekerja dan “disyaki salah seorang mangsa hilang”.

Lebih lima jam kemudian, ia menarik balik dakwaan itu, dan menyatakan tulang-tulang tersebut disahkan sebagai tujuh serpihan tulang haiwan.

Sambil memetik pakar forensik, agensi berita Yonhap berkata ia adalah tulang kaki khinzir.

Dalam tajuk satu berita muka depan semalam, akhbar Hankook Ilbo menyatakan: “Kementerian maritim memberi tumbukan berganda kepada ahli keluarga.”

Ahli keluarga orang hilang trauma kerana kerajaan tanpa peduli mengeluarkan sahaja satu pengumuman penting tanpa memeriksa fakta asas,” katanya.

Akhbar harian Dong-A Ilbo berkata ia bertindak terlalu awal, di bawah satu tajuk yang menyebut: “Kementerian maritim buat kesilapan sekali lagi”.

Tulang haiwan dan tulang manusia dapat dikenali dengan mudah walaupun dengan mata kasar, ia menambah.

Saudara mara keluarga yang telah mendirikan tempat tinggal di sebuah pelabuhan berhampiran tapak nahas menangis apabila seorang pegawai kanan memberitahu mereka ‘mayat manusia’ telah ditemui, kata akhbar itu.

Mereka bergegas untuk sampai ke sebuah kapal separa tenggelam yang berlabuh di laut, di mana bangkai kapal telah dipunggah dan serpihan tulang dijumpai, hanya untuk diberitahu tentang asalnya dari haiwan.

Dengan lidah yang terkelu dan keletihan, mereka kembali ke pusat perlindungan mereka dengan senyap, menurut akhbar harian itu.

Pegawai kementerian tidak dikenali dipetik oleh akhbar Chosun Ilbo sebagai berkata: “Tulang itu dalam kekotoran dan kami tidak dapat melihatnya dengan dekat” sebelum pakar forensik tiba. “Kami tidak pernah membayangkan ia boleh berasal daripada haiwan.”

Hampir kesemua mangsa kapal karam itu adalah kanak-kanak sekolah, dan siasatan merumuskan bencana itu umumnya dibuat oleh manusia — hasil kumulatif daripada reka bentuk kapal yang menyalahi undang-undang, ruang kargo yang membawa muatan berlebihan, kru tidak berpengalaman dan hubungan yang mencurigakan di antara pengusaha kapal dengan pengawal kerajaan.

Kementerian dikritik hebat berhubung pengaraman itu, dan akhbar harian Kyunghyang berkata kesilapan dalam pengumuman itu berlaku kerana ia kini terlalu ingin untuk membuktikan diri dengan menghasilkan sesuatu dalam usaha mencari mangsa hilang. — AFP

Advertisement