Anda di sini

Tawaran awam permulaan baharu bakal pacu dagangan Bursa Malaysia melebihi 27%

Advertisement

KUALA LUMPUR: Tawaran awam permulaan (IPO) yang bakal dilaksanakan tahun ini berkemungkinan dapat memacu dagangan Bursa Malaysia lebih tinggi daripada 27 peratus yang dicapai pada tahun lepas.

 Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd Datuk Seri Tajuddin Atan berkata peyenaraian Eco World International Bhd pada 3 April ini, akan menjadi antara tumpuan utama pada tahun ini, memandangkan permodalan pasarannya yang besar.

 “Tambahan pula, kami mendengar Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah meluluskan penyenaraian dua IPO lagi, masing-masing di pasaran utama dan pasaran ACE.

 “Penyenaraian-penyenaraian ini sudah mencukupi untuk mencergaskan pasaran,” kata beliau kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan Bursa Malaysia di sini semalam.

 Setakat ini bagi tahun ini, HLT Global Bhd, Matang Bhd, KIP Real Estate Investment Trust dan Serba Dinamik Holdings Bhd telah disenaraikan.

 Secara kolektifnya, empat penyenaraian ini mempunyai permodalan pasaran berjumlah kira-kira RM2.84 bilion, yang hampir sama dengan permodalan pasaran Eco World International.

 Menurut Tajuddin, buat masa ini, momentum perdagangan dalam pasaran saham tempatan adalah sangat baik, dengan kira-kira RM4.7 bilion dalam aliran masuk dana asing setakat ini.

 Beliau berkata pada 13 hingga 17 Mac, 2017, akan terdapat aliran masuk dana asing yang hebat dengan jumlah kira-kira RM1.7 bilion dalam minggu itu sahaja.

 Selain IPO yang menarik dan kekuatan ringgit, beliau berkata para pelabur memasuki pasaran bagi mendapatkan hasil dividen yang kukuh dalam pasaran Bursa tersebut. — Bernama  

Advertisement