Anda di sini

Takaful IKHLAS dan Agrobank jalin kerjasama strategik lima tahun

Advertisement

KUALA LUMPUR: Takaful Ikhlas Berhad (Takaful IKHLAS), anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad (MNRB) baru-baru ini telah memeterai perjanjian persefahaman untuk tempoh lima tahun dengan Agrobank sebagai Rakan Takaful Pilihan atau Preferred Takaful Partner.

 Presiden dan Ke tua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS, Datuk Ab Latiff Abu Bakar berkata, kerjasama ini membolehkan kedua-dua pihak menyasarkan unjuran perniagaan yang baik dan menyeluruh.

 “Selain itu, ia juga bagi memenuhi keperluan pelanggan menerusi Takaful Kemalangan Diri, Takaful Gadaijanji (MRTT), Takaful Kredit Berkala Berkumpulan (GCTT), Takaful Keluarga Berkumpulan, Pelan Takaful Keluarga untuk pendidikan, persaraan dan perubatan, Takaful Motor, Takaful Kebakaran, dan lain-lain Takaful Bukan Motor.

 “Kerjasama antara Takaful IKHLAS dan Agrobank ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia telah terjalin sejak lebih 10 tahun lalu. Perjanjian persefahaman pada hari ini adalah untuk tempoh lima tahun bagi perniagaan Takaful Keluarga dan Takaful Am.

 “Ini membuktikan kesediaan dan komitmen antara kedua-dua pihak untuk memperluaskan kerjasama bagi tempoh yang lebih lama. Kami amat berbesar hati kerana diberi kepercayaan dan dilantik sebagai Rakan Takaful Pilihan (Preferred Takaful Partner),” katanya.

 Bagi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman pula, beliau berpendapat Agrobank dan Takaful Ikhlas Berhad berkongsi matlamat yang sama yakni menyediakan perkhidmatan kewangan yang patuh syariah dan komprehensif untuk memberi manfaat kepada pengguna.

 “Atas semangat inilah, kita bersetuju untuk membawa kerjasama ini ke satu tahap yang lebih tinggi iaitu kolaboratif lima tahun bagi Takaful IKHLAS sebagai Rakan Takaful Pilihan.

 “Kita berazam untuk mengukuhkan sinergi kolaboratif yang ada dengan matlamat utama untuk membangunkan perlindungan takaful khas untuk golongan agro dan juga golongan sasaran yang kurang diliputi iaitu golongan ‘unserved’ dan ‘underserved’,” katanya.

 Sebagai permulaan kerjasama ini, Takaful IKHLAS dan Agrobank telah melancarkan Agro Nurani iaitu pelan Takaful yang dirangka khusus untuk Orang Kurang Upaya (OKU) pada Januari lalu.

 Produk perlindungan Takaful tersebut merupakan yang pertama seumpanya di negara ini.

 Bagi meneruskan kerjasama ini, Takaful IKHLAS dan Agrobank bakal melancarkan pelan takaful pendidikan sekitar pertengahan tahun ini.

  • oleh
  • Advertisement