KUALA LUMPUR: TAHPS Group Bhd, melalui cabang hartanahnya, Bukit Hitam Development Sdn Bhd, akan melancarkan projek pembangunan hartanah bertanah dengan nilai pembangunan kasar lebih RM100 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Eugene Khoo berkata, projek itu terdiri daripada 140 unit rumah bertanah dan berpagar di kawasan seluas 20.23 hektar, dijangka dilancar pada suku keempat tahun ini.
“Kami melihat kepada kemampuan pembeli pada masa ini. Jika anda membina rumah bernilai lebih sejuta ringgit, ia akan menjadi sukar untuk dijual. Tetapi jika ia adalah hartanah bertanah bernilai RM700,000, ia akan menjadi mudah.
“Apabila kami merancang untuk melancar projek baharu, kami mengambil kira lokasi, pembangunan di kawasan sekitar, projek sedia ada serta harga di pasaran sekunder,” katanya kepada Bernama.
Sebagai pemaju, adalah penting untuk syarikat itu untuk terus melancarkan projek, walaupun pasaran hartanah berada dalam keadaan tidak baik.
“Ia bermakna kami perlu menawarkan produk yang relevan kepada pasaran pada ketika itu. Kami adalah peserta jangka panjang dan kami mahu memastikan pelanggan puas hati,” katanya.
Khoo berkata, projek tersebut dijangka menerima sambutan baik berikutan lokasi strategik di Bukit Puchong, iaitu berhampiran Cyberjaya, Putrajaya dan Lembah Klang.
Dari segi hubungan jalan, beliau berkata, lokasi itu adalah antara Lebuhraya Damansara-Puchong dan Lebuhraya Klang Selatan serta Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya yang dirancang.
Khoo berkata, TAHPS Group ketika ini mempunyai kira-kira 242.81 hektar tanah pegangan bebas di Bukit Puchong.
“Kami merancang membangunkan tanah ini sebagai perbandaran lengkap yang merangkumi perumahan, hartanah di bangunan tinggi dan bertanah serta taman, pembangunan komersil untuk kedai khusus serta pusat penjagaan kesihatan,” tambahnya.
Kumpulan itu merancang menggunakan sepenuhnya tanah terbabit dalam tempoh 10 hingga 12 tahun akan datang. — Bernama