Anda di sini

SME Bank lulus pembiayaan bernilai RM45 juta di bawah YEF setakat Disember 2016

Advertisement

KUALA LUMPUR: SME Bank meluluskan pembiayaan bernilai RM45 juta kepada 611 usahawan belia di bawah Dana Keusahawanan Muda (YEF) setakat Disember 2016.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan berkata dari segi jumlah peserta, Wilayah Persekutuan mencatatkan bilangan tertinggi iaitu sebanyak 158 peserta dengan pembiayaan sebanyak RM12.4 juta, diikuti oleh Selangor dan Johor, masing-masing mencatatkan 98 dan 58 peserta dengan pembiayaan RM9.1 juta dan RM4.7 juta.

Peserta dari Kedah pula seramai 23 peserta dengan pembiayaan RM1.7 juta,” katanya pada Persidangan Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Wira Othman Abdul (BN-Pendang) yang ingin tahu jumlah usahawan muda mengikut negeri yang telah berjaya selepas YEF diwujudkan.

YEF mula diperkenalkan pada 2013 bagi membantu golongan belia yang terlibat dalam bidang perniagaan khususnya mereka yang berumur di antara 18 dan 30 tahun dengan peruntukan dana sebanyak RM50 juta.

Beliau berkata program ini juga menawarkan kemudahan pembiayaan di antara RM20,000 dan RM100,000 setiap pelanggan dengan kaedah perbankan Islam.

Berdasarkan nilai pembiayaan tidak berbayar di bawah 10 peratus, beliau berkata adalah dianggarkan lebih 550 usahawan YEF yang dibiayai masih aktif meneruskan perniagaan mereka.

Secara keseluruhannya sehingga Mac tahun ini, beliau berkata SME Bank telah meluluskan sebanyak RM26 bilion pembiayaan bagi membantu lebih daripada 15,200 usahawan perusahaan kecil dan sederhana dengan purata kelulusan tahunan sebanyak RM2 bilion melibatkan 1,200 usahawan, termasuk usahawan muda.

Secara kumulatif, SME Bank telah merekodkan kadar kelulusan pinjaman sebanyak 84.3 peratus daripada jumlah permohonan keseluruhan.

Ini menunjukkan pencapaian cemerlang berbanding dengan kadar kelulusan bank komersial sebanyak 79.3 peratus dalam jangka masa yang sama,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Tabung Usahawan Siswazah yang diperkenalkan pada 2005 telah membantu seramai 1,717 usahawan siswazah dengan nilai pembiayaan sebanyak RM228.8 juta setakat ini.

Bagi Pembiayaan Perniagaan Dalam Talian pula, beliau berkata dana yang diwujudkan untuk mempertingkatkan dan memperkukuhkan perniagaan usahawan Bumiputera melalui platform perniagaan dalam talian ini telah meluluskan 82 permohonan berjumlah RM11.06 juta sehingga Mac 2017.

Program Tunas Usahawan Bumiputera yang dikendalikan oleh SME Corporation pula telah mengeluarkan RM29 juta sebagai geran kepada 1,436 usahawan muda setakat ini.

Bagi tahun ini, beliau berkata seramai 1,000 lagi usahawan belia akan dilatih di bawah program ini. — Bernama

Advertisement