Anda di sini

Queensland paling terjejas Debbie

Advertisement

Kemusnahan besar-besaran disaksikan di pulau dan pantai Whitsunday

 Pemandangan di sekitar pusat peranginan di Pulau Hamilton luar pantai timur Queensland, semalam selepas dibadai Siklon Debbie. — Gambar Reuters
KENCANG: Pemandangan di sekitar pusat peranginan di Pulau Hamilton luar pantai timur Queensland, semalam selepas dibadai Siklon Debbie. — Gambar Reuters

SYDNEY: Tentera Australia dan pekerja kecemasan menuju ke kawasan negeri tropika Queensland yang paling teruk dibadai Siklon Debbie semalam, dan mendapati jalan disekat oleh pokok tumbang, jelapang tebu ranap dan kerosakan berleluasa di bandar tepi pantai.

Tiada kematian dilaporkan selepas Debbie menyebabkan kemusnahan di timur laut Australia kelmarin sebagai taufan kategori empat, satu anak tangga di bawah tahap kelajuan ribut paling bahaya, sebelum perlahan-lahan diturun taraf kepada ribut tropika rendah.

Ribuan orang duduk dalam pusat perlindungan apabila pusat pelancongan di sepanjang Great Barrier Reef yang terkenal di seluruh dunia dan kawasan pantai dibadai ribut kencang yang lebih kuat daripada 260 km sejam.

Mereka bangun dan melihat jalan dipenuhi puing.

Keadaan musnah sama sekali.

Kami tidak dapat keluar masuk, begitu banyak pokok tumbang,” kata Jon Clements, yang bercuti di Pulau Hamilton di kepulauan Whitsunday ketika taufan melanda.

Tiada sehelai daun pun yang tertinggal di atas pokok.”

Ketua Menteri Queensland, Annastacia Palaszczuk, berkata kawasan paling teruk dilanda adalah pulau dan pantai Whitsunday, kira-kira 900 kilometer ke barat laut ibu negeri Brisbane.

Bekalan air terputus ke Pulau Daydream, di mana 200 tetamu dan 100 kakitangan berada, katanya.

Di Mackay, tidak jauh dari pantai Whitsunday, pagar dan bangsal diterbangkan oleh angin, sungai melimpah dan pasang tinggi dan ombak kuat masih melanda pantai semalam, rakaman televisyen Nine Network menunjukkan.

Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull memberitahu pemberita di Pusat Penyelarasan Krisis di Canberra: “Alam semula jadi telah melontarkan keadaannya yang terburuk kepada rakyat Queensland. Banyak kerosakan yang berlaku sekarang perlu diperbaiki, dibersihkan, memulihkan kuasa, untuk membuat talian elektrik selamat.”

Lebih 63,000 orang terputus bekalan elektrik.

Hujan lebat turun di atas kawasan yang luas di Queensland semalam apabila sistem taufan bergerak ke pedalaman, dengan amaran banjir dan cuaca buruk dikuatkuasakan di seluruh negeri.

Hanya dua kecederaan sahaja dilaporkan, kata polis.

Sebuah keluarga berhampiran Pantai Airlie, yang merentasi pusat taufan, mengakui penuh trauma.

Palaszczuk berkata keluarga itu mengalu-alukan seorang bayi perempuan yang dilahirkan di dalam Stesen Ambulans Whitsunday ketika taufan membadai di luar. — Reuters

Advertisement