Anda di sini

Polis serbu sarang Islamis Bangladesh

Advertisement

DHAKA: Polis Bangladesh mengalami serangan bom tangan apabila mereka menyerbu dua lokasi disyaki tempat persembunyian pelampau Islam semalam, beberapa hari selepas operasi antimilitan besar-besaran yang mengorbankan 10 orang.

Polis berkata pegawai antiterorisme menyerbu dua rumah dalam daerah Moulvibazar di bahagian timur laut selepas menerima maklumat bahawa pelampau berlindung di sana.

Satu pertelingkahan menyusul, dengan mereka di dalam rumah yang melontar bom tangan, kata ketua polis tempatan Rashedul Islam kepada AFP.

Dalam salah sebuah rumah, kami mengesyaki lapan hingga sembilan orang daripada mereka di sana,” katanya dan menambah rumah tersebut dimiliki seorang warga Britain yang berasal dari Bangladesh.

Serbuan itu berlaku selepas komando tentera menyerbu sebuah bangunan lima tingkat di bandar berdekatan Sylhet, yang mencetuskan pertelingkahan ganas selama tiga hari.

Sekurang-kurangnya empat pelampau maut dan enam orang lagi termasuk dua anggota polis terbunuh apabila dua butir bom meletup Sabtu lepas berhampiran orang ramai yang menyaksikan operasi.

Kumpulan Islamic State (IS) mendakwa melakukan serangan bom berkembar itu tetapi kerajaan menolak dakwaan itu, sebaliknya menyalahkan organisasi pelampau tempatan yang diharamkan oleh kerajaan.

Serangan pelampau telah meningkat sejak beberapa minggu yang lalu di negara majoriti Islam dengan 160 juta penduduk itu selepas keadaan agak tenang sejak lima lelaki bersenjata yang dikaitkan dengan IS membunuh 22 orang termasuk 18 tebusan asing di sebuah kafe di Dhaka pada 1 Julai lalu.

IS juga mengaku diri terlibat dalam sekurang-kurangnya dua daripada tiga insiden lain pada bulan ini di mana penyerang meletupkan diri di pos pemeriksaan keselamatan, termasuk satu yang menyasari pasukan keselamatan elit yang ditugaskan untuk menangani militan Islam.

Penganalisis berkata puak militan Islam menimbulkan bahaya yang semakin meningkat di negara konservatif Bangladesh, di mana krisis politik yang berlarutan telah menyemai fahaman radikal dalam diri para penentang kerajaan.

Bangladesh berbangga dengan diri sendiri sebagai sebuah negara majoriti Islam yang sederhana. Namun persepsi itu telah dirosakkan oleh siri pembunuhan mengerikan ke atas penulis blog ateis, orang asing dan penganut minoriti. — AFP

Advertisement