Anda di sini

Perompak bank kena 20 tahun

Advertisement

LOS ANGELES: Seorang lelaki California yang menurut pendakwa raya mengetuai sekumpulan perompak dalam siri rompakan bank ala Hollywood selama sedekad, dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun.

Alceu Johnny Andreis, yang sudah menjalani hukuman penjara 51 bulan atas cubaan merompak bank pada 2014, turut diarah hakim persekutuan untuk membayar ganti rugi AS$12 juta (RM54 juta) serta menyerahkan dua kereta Mercedes-Benz dan empat motosikal Ducati yang dibeli dengan hasil curi.

Andreis, 48, didapati bersalah atas dua tuduhan merompak bank selepas perbicaraan juri di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat di Los Angeles lewat tahun lepas.

Pendakwa raya berkata Andreis mengetuai sekumpulan perompak dalam siri rompakan bank yang dirancang rapi di California Selatan di mana setiap bangunan ditinjau, bumbung dilubang untuk akses menerusi tali dan pelbagai latihan.

Andreis menjalankan ujian dadah ke atas orang bawahannya, menyuruh mereka memakai baju dan kasut serupa dan dengan terperinci mengelap peralatan mereka untuk memastikan mereka tidak meninggalkan cap jari atau bukti DNA.

Andreis dan anggota geng lain dicekup pada 2014 ketika cuba merompak cawangan Citibank di Diamond Bar, bandar pinggir Los Angeles.

Tiga defendan lain mengaku salah, di mana dua dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, manakala defendan ketiga sedang menunggu hukuman diputuskan, kata pendakwa raya. — Reuters

Advertisement