Anda di sini

Mayat dua penyiasat PBB ditemui di DRC

Advertisement

ABIDJAN: Penduduk di Republik Demokratik Congo (DRC) menemui mayat dua penyiasat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan penterjemah warga tempatan yang hilang pada bulan ini di sebuah kawasan diselubungi keganasan pemberontakan, kata seorang jurucakap kerajaan kelmarin.

Michael Sharp, seorang warga Amerika Syarikat (AS) dan Zaida Catalan, warga Sweden, berada dalam sebuah kumpulan pakar yang memantau regim yang mendapat sekatan di DRC oleh Majlis Keselamatan PBB apabila mereka hilang di wilayah Tengah Kasai.

Dalam satu kenyataan di New York, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengesahkan bahawa mayat dua penyiasat yang hilang sejak 21 Mac telah ditemui di Kongo dan berkata badan dunia itu akan melakukan satu siasatan.

Penduduk kampung menemui mayat dua warga asing dan seorang warga tempatan tidak jauh dari di mana kumpulan pakar itu hilang, kata kerajaan.

Polis memberitahu pihak berkuasa di ibu kota Kinshasa Isnin lepas di mana sebuah pasukan termasuk pesuruhjaya polis wilayah telah dihantar ke tempat kejadian untuk mengenal pasti mayat.

Nampaknya sekarang sudah pasti. Ia adalah mayat dua penyiasat terbabit.

Kami mengenal pasti mayat ketiga dalam kubur bersama mereka ialah penterjemah tempatan,” kata Menteri Komunikasi Lambert Mende kepada Reuters.

John Sharp, ayah kepada Michael, mengeluarkan kenyataan menerusi laman Facebook di mana mayat dua warga asing telah ditemui dalam sebuah kubur besar dengan berkata ada kemungkinan ia adalah pegawai PBB.

Ini adalah ungkapan yang saya harap tidak akan saya tulis,” kata beliau sambil menambah ujian DNA dan rekod pergigian akan digunakan untuk mengenal pasti mayat.

Guterres berkata PBB akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Congo dalam usaha mencari empat lagi warga tempatan yang bersama-sama dengan pegawai PBB itu. — Reuters

Advertisement