Anda di sini

Dua pegawai imigresen wanita hadapi 7 tuduhan pecah amanah

Advertisement
 Dua pegawai imigresen Suhana (dua kiri) dan Zalita (tiga kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam atas tujuh pertuduhan pecah amanah membabitkan wang bayaran permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) berjumlah RM1,400 tahun lepas. — Gambar Bernama
PECAH AMANAH: Dua pegawai imigresen Suhana (dua kiri) dan Zalita (tiga kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam atas tujuh pertuduhan pecah amanah membabitkan wang bayaran permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) berjumlah RM1,400 tahun lepas. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Dua pegawai imigresen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tujuh pertuduhan pecah amanah membabitkan wang bayaran permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) berjumlah RM1,400 tahun lepas.

Suhana Samad, 35, dan Zalita Haron, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Slamat Yahya.

Kedua-dua wanita itu yang bertugas di Bahagian Pasport, Jabatan Imigresen Selangor, didakwa bersama-sama melakukan pecah amanah ke atas wang berjumlah RM1,400 iaitu wang bayaran permohonan PMA milik tujuh individu.

Mereka didakwa melakukan kesemua kesalahan di Bahagian Pasport, Jabatan Imigresen Selangor, Tingkat 2, Kompleks PKNS di sini, antara 28 Jun 2016 dan 1 Julai 2016.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohammed Heikal Ismail mencadangkan supaya kedua-dua tertuduh diikat jamin RM15,000 setiap seorang bagi kesemua pertuduhan.

Peguam C. R. Selva yang mewakili kedua-dua wanita itu memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan Zalitha yang telah berkhidmat selama 18 tahun dan perlu menyara lima anak yang masih bersekolah.

Sementara Suhana pula yang telah berkhidmat selama 11 tahun kini bercuti tanpa gaji kerana perlu menjaga anaknya yang menghidap asma kronik.

Slamat kemudian menetapkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM15,000 serta seorang penjamin setiap seorang bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 27 April depan untuk sebutan semula kes.

Beliau turut memerintahkan mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Media sebelum ini melaporkan kedua-dua tertuduh merupakan antara empat pegawai Imigresen Selangor yang ditahan SPRM kerana disyaki mengemukakan laporan bayaran palsu bagi permohonan PMA. — Bernama

Advertisement