Anda di sini

BERNAS sumbang RM10 juta untuk tabung insurans pesawah

Advertisement
 Ahmad Shabery (sebelas kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif BERNAS Abdul Karim Md Lassim (kiri) meraikan para pesawah, pengilang dan pemborong cemerlang pada Malam Anugerah Tani BERNAS.
DIHARGAI: Ahmad Shabery (sebelas kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif BERNAS Abdul Karim Md Lassim (kiri) meraikan para pesawah, pengilang dan pemborong cemerlang pada Malam Anugerah Tani BERNAS.

KUALA LUMPUR: Prihatin dengan masalah pesawah yang sering berdepan dengan bencana, Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) telah menyuntik sebanyak RM10 juta bagi membiayai skim insurans pesawah untuk membantu pesawah yang mengalami kerugian.

 Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kajian mengenai skim insurans untuk membantu pesawah yang mengalami kerugian akibat bencana alam kini di peringkat akhir.

 Skim berkenaan diwujudkan dengan mencontohi Filipina dan akan dibentangkan ke Parlimen dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi.

 “Jika semuanya berjalan lancar, skim insurans ini bakal memberi manfaat kepada kira-kira 200,000 pesawah di seluruh negara,” katanya pada majlis sidang media selepas merasmikan Malam Anugerah Tani BERNAS 2017 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

 Malam Anugerah Tani BERNAS 2017 merupakan majlis yang julung kali diadakan oleh BERNAS bagi meraikan para pesawah, pengilang dan pemborong cemerlang yang setia sebagai rakan tani BERNAS dalam industri padi serta beras negara.

 Sebanyak 15 anugerah kecemerlangan diberikan kepada tujuh pesawah, empat syarikat pengilang Bumiputera dan empat syarikat pemborong.

Advertisement