Anda di sini

PPS diisytihar ditubuh secara sah mengikut undang-undang

Advertisement

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam mengisytiharkan bahawa Pasukan Peronda Sukarela (PPS) ditubuhkan secara sah di sisi undang-undang oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan kerajaan negeri selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang memutuskan PPS sebuah pertubuhan haram.

Panel dengan itu membenarkan perintah certiorari kepada kerajaan negeri untuk membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri bertarikh 3 Nov 2014 yang mengisytiharkan PPS sebagai pertubuhan haram.

Hakim Tengku Maimun yang bersidang bersama Hakim Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Mary Lim Thiam Suan yang mencapai keputusan sebulat suara juga membenarkan perintah yang dipohon oleh kerajaan negeri untuk mengisytiharkan PPS bukan sebuah pertubuhan mengikut Akta Pertubuhan 1965.

Beliau turut membenarkan perintah mandamus mengarahkan responden supaya mengembalikan semula jaket, peralatan, cop meterai, lencana, senjata api dan dokumen yang dirampas daripada PPS.

Pada 22 Nov tahun lepas Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang menolak permohonan semakan kehakiman oleh kerajaan negeri dengan memutuskan PPS ditubuhkan menyalahi undang-undang kerana ia tidak berdaftar di bawah Akta Pertubuhan.

Kerajaan negeri pada 27 Jan, 2015, memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar perintah Kementerian Dalam Negeri mengisytiharkan PPS sebuah pertubuhan haram.

Dalam permohonan bagi semakan kehakiman, kerajaan negeri menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

PPS ditubuhkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2011 dengan objektif membantu kerajaan negeri membanteras jenayah selain menjaga kebajikan dan keselamatan awam penduduk Pulau Pinang.

Anggota PPS berkhidmat secara sukarela.

Peguam Tommy Thomas dan S.Ambiga mewakili kerajaan negeri Pulau Pinang sementara peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili responden.

Shamsul memberitahu pemberita bahawa beliau akan mendapatkan arahan mengenai sama ada untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan. — Bernama

Advertisement