Anda di sini

Pembantu restoran didakwa beri pinjam wang tanpa lesen

Advertisement

IPOH: Seorang pembantu restoran dihadapkan di dua mahkamah berasingan di sini semalam atas dua pertuduhan membabitkan aktiviti perniagaan pinjaman wang secara haram baru-baru ini.

Di Mahkamah Sesyen, Lai Yon Thong, 28, mengaku tidak bersalah menjalankan perniagaan memberi pinjam wang tanpa lesen kepada Andy Chow Hon Yin, 31, di Desa Bercham pada 12 hingga 15 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 5 (2) Akta Peminjam Wang 1951 yang jika sabit kesalahan didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Hakim Norashima Khalid membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan mengarahnya menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Azriah Zaid manakala tertuduh diwakili peguam Manjit Kaur.

Sementara itu, Lai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan menyimbah cat merah ke rumah mangsa yang sama pada 20 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Siti Hafiza Jaafar menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Noor Aza Fazrina Sudarman manakala tertuduh diwakili peguam sama, Manjit Kaur.

Kedua-dua mahkamah juga menetapkan kes Lai masing-masing disebut semula pada 25 April ini. — Bernama

Advertisement