Anda di sini

Derma darah selamatkan nyawa

Advertisement
 Pusat Tabung Darah dengan wajah baharu mula dibuka kepada umum pada 15 Januari 2016.
WAJAH BAHARU: Pusat Tabung Darah dengan wajah baharu mula dibuka kepada umum pada 15 Januari 2016.

TIDAK dinafikan bahawa masih ramai masyarakat kita yang enggan tampil menderma darah meskipun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Kementerian dan Jabatan Kesihatan.

Salah satu daripada sebab mengapa orang awam enggan menderma darah adalah kerana timbulnya perasaan takut dan ragu-ragu dengan proses pendermaan dijalankan.

Malah tidak kurang juga yang beranggapan bahawa menderma darah boleh mendatangkan kesan negatif kepada penderma seperti berat badan meningkat dan jangkitan virus berbahaya.

Antara kebaikan yang  perlu anda ketahui yang akan mengubah fikiran anda untuk  menderma darah ialah anda dapat menyelamatkan nyawa orang lain yang berada dalam keadaan kritikal.

Selain itu menderma darah juga boleh memperbaharui sel-sel darah yang akan membantu badan penderma kekal sihat, berfungsi dan lebih cekap.

Anda juga mungkin tidak menyedari bahawa menderma darah boleh mengurangkan berat badan di mana kajian mendapati aktiviti menderma darah dapat membakar 650 kalori dalam satu sesi.

Lebih utama, menderma darah boleh mengurangkan risiko sakit jantung serta mengurangkan risiko pelbagai jenis kanser seperti kanser paru-paru, kanser hati, kanser kolon, kanser perut dan tekak.

 Kemudahan dan perkhidmatan untuk para  penderma jauh lebih selesa untuk menarik penderma kembali  menderma secara berterusan.
MODEN DAN SELESA: Kemudahan dan perkhidmatan untuk para penderma jauh lebih selesa untuk menarik penderma kembali menderma secara berterusan.

Komponen darah dan kegunaan 

Darah yang mengalir dalam tubuh badan kita terdiri daripada beberapa komponen untuk digunakan bagi merawat pesakit dengan pelbagai jenis penyakit.

Satu unit darah yang anda derma dapat menyelamatkan pesakit yang sedang bertarung nyawa dalam pembedahan, mangsa kemalangan, serta merawat pesakit kronik.

Menurut Ketua Unit Perkhidmatan Transfusi Darah, Dr Mohammad Masrin, darah terdiri daripada beberapa komponen iaitu Darah Utuh, Sel Darah Merah, Platelet dan Plasma.

Komponen darah utuh katanya digunakan untuk merawat pesakit yang kehilangan darah akibat kemalangan serta bayi dengan jaundis neonatal yang teruk.

Manakala sel darah merah digunakan untuk merawat  pesakit talasemia, leukimia dan kanser, pesakit buah pinggang, kes-kes anemia (kekurangan darah), pesakit yang kehilangan darah semasa pembedahan dan pemindahan darah serta kes tumpah darah selepas bersalin.

“Komponen darah platelet pula digunakan untuk merawat kes demam denggi, demam denggi berdarah, penyakit leukimia dan kanser serta kes pendarahan teruk.

“Komponen darah plasma pula digunakan untuk merawat mangsa melecur akibat kebakaran, kes-kes pendarahan teruk, kes demam denggi berdarah dan kes kegagalan hepar,” ujar Dr Masrin.

Pusat Tabung Darah HUS

Bagi menggalakkan orang awam tampil menderma darah secara berterusan, Hospital Umum Sarawak (HUS) telah menubuhkan Pusat Tabung Darah dengan wajah baharu.

Tujuannya, adalah untuk memberikan suasana serta pengalaman menderma darah dengan fasiliti yang lebih mesra dan selesa kepada penderma dan ingin kembali semula untuk menderma.

Menurut Dr Masrin, sejak pusat ini siap pada 15 Januari 2016, ia telah berjaya menggandakan jumlah penderma daripada 10 hingga 15 penderma sehari kepada 30 penderma sehari.

Rekod ini menunjukkan bahawa dengan menyediakan fasiliti serta perkhidmatan yang lebih baik ia dapat menarik lebih ramai orang awam untuk kembali menderma secara berterusan.

“Bilangan maksima penderma yang pernah direkodkan sejak pusat ini diwujudkan ialah 150 penderma iaitu pada hari pertama pusat ini dibuka.

“Sebab itu kami di Tabung Darah HUS lebih menggalakkan penderma datang secara berkumpulan sebagai satu daripada aktiviti kemasyarakatan mereka,” katanya.

Dalam pada itu Tabung Darah HUS perlu mengekalkan kira-kira 500 beg atau pain darah untuk memenuhi permintaan pesakit.

Pada ketika ini katanya, bekalan bagi semua jenis darah iaitu A, B, AB dan O adalah mencukupi.

Bagaimanapun,Dr Masrin merayu penderma untuk menderma darah secara berterusan bagi memastikan bekalan mencukupi terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah.

“Di Kuching sahaja, kita memerlukan kira-kira 70 pain darah setiap hari termasuk pada hujung minggu.

“Darah yang diderma hanya dapat bertahan selama 35 hari dan Tabung Darah memerlukan bekalan yang berterusan untuk menampung keperluan pesakit,” katanya.

Bagi memastikan darah yang diderma adalah selamat, penderma perlu melalui pemeriksaan wajib temasuk ujian HIV dan Hepatitis B.

Darah yang diderma dapat digunakan selepas tempoh 24 jam selepas melalui ujian di Makmal GMP dan pemadanan dengan pesakit.

Pusat Tabung Darah HUS dibuka dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang pada hari Isnin hingga Jumaat termasuk pada waktu rehat.

Pihak hospital turut mempunyai unit tabung bergerak untuk menjalankan aktiviti derma darah di seluruh negeri.

Maklumat mengenai lokasi unit tabung bergerak ini boleh diketahui dengan melayari laman web http://hus.moh.gov.my, laman Facebook rasmi ‘Blood Bank Hospital Umum Sarawak’, Instagram ‘bloodbankhus’, Twitter ‘@bloodbankHUS’ atau hubungi 082-276796.

  • oleh
  • Advertisement